Nasib Najib diketahui jam 10 pagi ini

Keadaan di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Keadaan di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini. - Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sama ada dibebaskan atau disabit atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd akan diketahui dalam masa kurang dua jam sahaja lagi.

Tumpuan kini terarah di Mahkamah Tinggi di sini apabila Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijangka membacakan keputusan perbicaraan jam 10 pagi ini.

Perdana Menteri keenam bermula 2009 hingga 2018 itu merupakan Perdana Menteri pertama diheret ke mahkamah.

Jika disabitkan kesalahan, Najib yang baharu menyambut hari lahirnya pada 23 Julai lalu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan boleh juga dikenakan sebat.

ARTIKEL BERKAITAN: Esok penentu nasib Najib

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009; Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 (1) (b) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai rasuah atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara Seksyen 409 Kanun Keseksaan, ia memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta AMLATFPUAA 2001, jika sabit kesalahan, berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi bagi setiap pertuduhan.

Jika semalam Najib disambut oleh penyokongnya daripada pimpinan Barisan Nasional (BN) Terengganu namun hari ini, Mahkamah Kuala Lumpur sekali lagi dipenuhi oleh penyokongnya daripada pimpinan seluruh negara.

Mereka yang hadir sejak jam 6.30 pagi dilihat mengenakan pakaian serba biru dan merah.

Bukan itu sahaja, sekitar mahkamah juga dipenuhi penyokong Ahli Parlimen Pekan itu selain dihadiri oleh puluhan pengamal media tempatan dan antarabangsa.

Dalam usaha menyekat penularan wabak koronavirus (Covid-19), pihak mahkamah turut mengetatkan kawalan selain memastikan semua yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Hanya 10 pengamal media tempatan dibenarkan masuk ke kamar mahkamah manakala hampir 40 pengamal media tempatan dan antarabangsa ditempatkan di bilik video.

Penyokong bekas Perdana Menteri itu hanya dibenarkan berada di luar mahkamah.