Permintaan etak salai menggalakkan

Etak salai tradisional Kelantan mendapat permintaan daripada masyarakat Terengganu. Mohd Hakimi menunjukkan etak salai dari Kelantan yang dijual di gerainya di Pengadang Baru.
Etak salai tradisional Kelantan mendapat permintaan daripada masyarakat Terengganu. Mohd Hakimi menunjukkan etak salai dari Kelantan yang dijual di gerainya di Pengadang Baru.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Berulang-alik dari Kuala Terengganu ke Pasir Putih, Kelantan sejauh 200 kilometer (km) setiap hari sudah menjadi kebiasaan kepada Mohd Hakimi Abu Hassan.

Hakimi, 38, perlu memandu hampir tiga jam semata-mata untuk mendapatkan bekalan etak salai segar, sejenis makanan santai yang popular di Kelantan untuk dijual di Kuala Terengganu.

Menurut Mohd Hakimi, beliau mendapat idea menjual etak salai tradisional bersalut rempah di Terengganu selepas mencuba makanan itu ketika secara kebetulan berkunjung ke Kelantan pada penghujung tahun 2018.

“Di sana, saya ternampak gerai menjual etak salai. Pertama kali cuba, rasanya sedap dan berbeza cara masakan di Terengganu yang biasanya dimasak serai, gulai, berempah dan rebus tapi masih mengekalkan tradisi citarasa pantai timur.

“Terdetik dalam hati saya nak bawa etak salai ini untuk warga Terengganu mencuba kerana adat dan budaya kedua-dua negeri ini tidak jauh beza,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Akhirnya pada September tahun lalu, Mohd Hakimi membuka sebuah gerai di Kampung Pengadang Baru dengan permulaan menjual sekitar 28 kilogram (kg) etak sehari.

Etak salai segar dari Kelantan yang dijual Mohd Hakimi di gerainya di Kampung Pengadang Baru.
Etak salai segar dari Kelantan yang dijual Mohd Hakimi di gerainya di Kampung Pengadang Baru.

Beliau sama sekali tidak menyangka etak salai dijual RM5 sebekas itu menerima sambutan begitu menggalakkan dan perlu menambah bekalan sekitar 54kg hingga 72kg setiap hari untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Atas permintaan pelanggan daerah lain yang ingin mencuba etak salai, beliau kemudian membuka empat lagi gerai iaitu di Pantai Batu Burok, Ajil di Hulu Terengganu, Kelulut di Marang dan pantai Teluk Ketapang di Kuala Nerus.

“Bagi memastikan etak salai dijual sentiasa segar, saya ambil sendiri bekalan dengan bergerak ke Pasir Putih, Kelantan sekitar jam 4.30 atau 5 pagi dan balik semula ke Kuala Terengganu dengan jangkaan tiba sebelum jam 10 pagi untuk buka gerai.

“Ini penting untuk menjaga mutu etak salai yang dijual demi kepuasan pelanggan. Waktu berniaga pula bergantung kepada bekalan, sebelum ini saya buka gerai dalam tiga atau empat hari seminggu.

“Tapi selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), sekarang saya hanya berniaga setiap hujung minggu,” katanya.

Melihat kepada potensi yang ada pada etak salai, beliau berhasrat untuk mengembangkan perniagaan itu dengan melakukan proses menyalai sendiri pada masa akan datang.