Warga emas dituduh kes pengubahan wang haram

Lelaki didakwa atas 15 pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
Lelaki didakwa atas 15 pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas 15 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram sejak empat tahun lalu.

Tertuduh, Chan Wai Sun, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik saja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Berdasarkan 14 pertuduhan, Wai Sun didakwa telah menggunakan akaun semasa, akaun simpanan dan akaun syarikat miliknya, sebagai peralatan kesalahan berkaitan dengan pelakuan aktiviti haram.

Selain itu, tertuduh turut didakwa menggunakan akaun simpanan tetap menerima wang sejumlah RM100,000 daripada akaun semasa miliknya yang merupakan peralatan kesalahan berkaitan dengan pelakuan aktiviti haram.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dua bank berbeza sekitar Ipoh pada 4 Januari 2016 hingga 27 Mei 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan

Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan pada kesalahan itu atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin mencadangkan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh diwakili Peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan dalam rayuannya memohon jaminan munasabah dan sedia mematuhi syarat tambahan yang dikenakan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan ikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah,

Hakim turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 28 Ogos ini.