Dua RSS baharu kawal perairan negara

Aminuddin (kanan) menyerahkan tugas kepada Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria sebagai Pengarah APMM yang baharu (kiri) di Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor, Johor Bahru hari ini.
Aminuddin (kanan) menyerahkan tugas kepada Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria sebagai Pengarah APMM yang baharu (kiri) di Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Malaysia bakal mempunyai dua Remote Sensor Site (RSS) baharu yang akan dipasang di Pangkalan Maritim Abu Bakar (ABMB) di Batuan Tengah dan Langkawi dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, RSS tersebut akan memperkukuh pemantauan dan menjamin keselamatan perairan negara.

"Pemasangan dua radar baharu itu dilakukan menerusi fasa pertama. Ini adalah tambahan kepada 11 RSS sedia ada ketika ini.

"Kerajaan sedang merencana pemasangan RSS yang baharu itu menerusi tiga fasa dan pemasangan dua radar baharu di Batu Tengah dan Langkawi itu adalah dalam fasa pertama.

"Menerusi fasa kedua pula, kita akan menambah radar RSS di perairan pantai timur negara sebelum penambahan radar RSS di perairan Sarawak dalam fasa ketiga," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Negeri Johor di Ibu pejabat Maritim Malaysia negeri di sini hari ini.

Mohd Zubil berkata, ketika ini terdapat 11 radar RSS di seluruh negara yang sedang dinaik taraf dengan teknologi terkini bagi memantau perairan negara melibatkan kos sebanyak RM125 juta.

Katanya, apabila kerja menaik taraf 11 radar RSS sedia ada siap kelak, ia dapat berhubung dengan radar baharu yang akan ditambah pada masa depan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu beliau berkata, diharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk turut menaik taraf aset Maritim Malaysia pada masa depan.

"Sebanyak 70 peratus daripada keseluruhan aset dimiliki Maritim Malaysia sudah berusia lebih 25 tahun.

"Radar dan aset yang lebih canggih akan dapat membantu meningkatkan keupayaan agensi penguat kuasa dalam melindungi kedaulatan perairan dan sempadan negara," katanya.