Korea Utara kesan kes disyaki Covid-19 pertama

Bekas tentera Korea Utara tiba pada hari peringatan di Pyongyang semalam.
Bekas tentera Korea Utara tiba pada hari peringatan di Pyongyang semalam.
A
A
A

SEOUL - Pihak berkuasa Korea Utara mengenakan perintah berkurung di Kaesong selepas negara terbabit merekodkan kes pertama wabak disyaki koronavirus (Covid-19).

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengadakan mesyuarat tergempar politburo semalam bagi melaksanakan beberapa langkah kawalan.

Menurut laporan agensi berita rasmi KCNA berkata, ia termasuk pelaksanaan sistem darurat maksimum dan arahan untuk mengeluarkan situasi amaran tertinggi bagi mengekang penularan virus tersebut.

Sekiranya kes yang dikenal pasti itu disahkan Covid-19, ia akan menjadi kes pertama di Korea Utara dengan kemudahan kesihatan di negara terbabit dilihat tidak mencukupi untuk menghadapi wabak berkenaan.

Berdasarkan laporan KCNA, seorang individu dipercayai berpaling tadah dengan kepimpinan Korea Utara menyusup masuk semula ke negara itu pada 19 Julai lalu selepas berada di Korea Selatan selama tiga tahun.

Pyongyang sebelum ini menegaskan bahawa negara itu tidak merekodkan sebarang jangkitan Covid-19 walaupun penularan wabak itu melanda seluruh pelosok dunia.

Dalam pada itu, media rasmi melaporkan pesakit yang dipercayai dijangkiti wabak tersebut serta mana-mana kontak rapatnya diarahkan menjalani kuarantin di bandar sempadan Korea Selatan, Kaesong.

Jong Un dilaporkan berkata, virus yang membawa maut itu mungkin berjaya memasuki Korea Utara, justeru pihak berkuasa kini giat melaksanakan langkah bagi mengekang penularannya dari Kaesong.

Artikel Berkaitan:

Korea Utara sebelum ini menutup pintu sempadannya pada Januari lalu selepas Covid-19 dilaporkan merebak di seluruh China tetapi penganalisis berkata, tindakan itu tidak akan menghalang wabak tersebut daripada memasuki negara yang terkenal dengan kekuatan nuklear itu.

Sementara itu, Korea Selatan sehingga kini merekodkan sekitar 40 hingga 60 kes positif Covid-19 dalam tempoh satu hari. - AFP