'Bantah bukan mahu agungkan penjajah'

Tinggalan bangunan gereja di Bukit St Paul.
Tinggalan bangunan gereja di Bukit St Paul.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Tindakan MCA Kota Melaka membantah cadangan pertukaran nama Bukit St Paul ke Bukit Melaka bukanlah kerana mahu mengagungkan penjajah.

Naib Pengerusinya, Datuk Ronald Gan berkata, tindakan itu bukan juga berlandaskan kepada emosi semata-mata atau mahu mencetuskan isu perkauman, namun ia dibuat semata-mata untuk memelihara nama Melaka yang tersenarai sebagai Bandaraya Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menurutnya, semua pihak perlu melihat kesan daripada penukaran tersebut kerana sejak beratus tahun lamanya, nama itu sudah dipakai di Melaka.

"Sejak dahulu lagi nama Bukit St Paul sudah digunakan. Jadi, tiada keperluan untuk mengubah sejarah yang tercipta sejak sekian lama. Ini bukan isu perkauman atau bangsa, tapi kita nak generasi akan datang tahu mengenai nama bukit yang sudah wujud sekian lama ini.

"Perlu faham, dakwaan yang mengatakan nama Bukit St Paul bukan untuk mengagungkan gereja juga adalah tidak tepat memandangkan gereja di atas itu hanya tinggal rangka bangunan sahaja dan bukannya tempat ibadat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Gan berkata, beliau berharap kerajaan negeri dapat campur tangan terhadap perkara itu bagi memastikan nama Bukit St Paul dapat dikekalkan demi tatapan generasi akan datang.

Terdahulu, isu mengenai pertukaran nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka mengundang kontroversi apabila Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) mengusulkan perkara berkenaan di peringkat kerajaan negeri.

Bagaimanapun, tindakan itu menimbulkan bantahan ramai pihak sehingga satu petisyen diwujudkan yang sehingga kini sudah ditandatangani lebih 18,000 orang.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Bukit St Paul: Tukar nama tidak akan ubah fakta

Melaka perlu tegas tukar nama Bukit St Paul