Mahkamah tolak permohonan Ahmad Maslan gugur pertuduhan

Ahmad yang hadir dengan memakai sut hitam ditemui di luar mahkamah hari ini.
Ahmad yang hadir dengan memakai sut hitam ditemui di luar mahkamah hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak permohonan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan untuk menggugurkan tuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Selain itu, Ahmad, 54, juga gagal dalam permohonan supaya dibebaskan daripada tuduhan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa permohonan yang difailkan oleh Ahmad untuk membatalkan pertuduhan pada 11 Februari lepas adalah pramatang.

“Pertuduhan yang dihadapi pemohon juga tidak cacat dan berasas,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan permohonan Ahmad Maslan batal pertuduhan 24 Julai ini

Ahmad Maslan, Shahrir mengaku tak bersalah

Kes Ini dikendali Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria manakala peguam, Hamidi Mohd Noh mewakili Ahmad.

Mahkamah menetapkan 4 September ini sebagai sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu ketika ditemui di luar mahkamah, Hamidi berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung kes berkenaan, secepat mungkin.

Pada 21 Januari lalu, Ahmad, 54, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan, iaitu gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Najib pada 2013 kepada LHDN, dan memberi penyataan palsu kepada SPRM, tahun lalu.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu didakwa menerima wang itu daripada Najib, yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad dituduh memberi penyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat SPRM iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa Mohd Zairi Zainal, berhubung isu itu di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.