Mahkamah benar bantahan Najib terhadap rayuan Tony Pua

Tony Pua, Najib
Tony Pua, Najib
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan bantahan awal Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa rayuan dibuat Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kim Wee ke atas injunksi diperoleh terhadap beliau berkenaan satu video klip tidak perlu didengar kerana saman fitnah yang utama telah tidak diteruskan.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed memutuskan rayuan Pua adalah bersifat akademik dan berdasarkan prinsip umum yang diterima pakai mahkamah tidak menjawab soalan-soalan akademik.

Peguam Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun dalam satu bantahan awal meminta mahkamah untuk menolak rayuan itu dengan asas bahawa ia adalah akademik kerana saman itu tidak lagi wujud.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Azahar berkata, berikutan keputusan oleh panel hakim lain dalam Mahkamah Persekutuan semalam menolak permohonan Pua untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayunan tahun lepas yang membenarkan Najib menarik balik saman terhadap Pua, keputusan Mahkamah Rayuan itu kekal tidak dicabar.

“Justeru, berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan, saman utama di Mahkamah Tinggi (sekarang) adalah tidak wujud dan menjadi penamat kepada litigasi antara plaintif (Najib) dan defendan (Pua),” katanya.

Dalam keputusannya, Hakim Azahar berkata, adalah penting untuk diamati bahawa rayuan di hadapan panel hakim hari ini timbul daripada injunksi sementara diberikan Mahkamah Tinggi yang bukannya keputusan injunksi kekal.

“Injunksi itu tidak dapat dipertahankan kerana saman utama sudah tidak lagi wujud dan tambahan pula keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Oktober 2019 membatalkan injunksi sementara itu,” kata beliau.

Mahkamah Persekutuan juga tidak memberikan kos walaupun Mohd Hafarizam memohon RM30,000 sebagai kos.

Artikel Berkaitan:

Dua lagi anggota panel hakim pada hari ini ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Najib menyaman Pua atas kapasiti peribadinya dan mendakwa defendan telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap beliau menerusi siaran video langsung berkaitan pembentangan Rang Undang-undang Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah ) 1965 atau RUU355.

Pada 4 Ogos 2017, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan injunksi sementara Najib bagi menghentikan Pua daripada terus mengeluarkan kenyataan dan menyiarkan klip video terbabit.

Pada 14 Februari 2018, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi tetapi dalam bulan Jun pada tahun sama Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Pua untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan. Rayuan itu dijadualkan didengar pada hari ini.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Julai 2018, membenarkan Najib menarik balik saman fitnah terhadap Pua biarpun dibantah Ahli Parlimen Damansara itu.

Pua kemudiannya merayu kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan Najib menarik balik saman kerana keputusan terhadap injunksi itu belum dibuat.

Pada 15 Oktober tahun lepas, panel hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer membenarkan sebahagian rayuan Pua untuk menerima ganti rugi yang akan dinilai oleh Mahkamah Tinggi berikutan pembatalan perintah injunksi itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Najib untuk menarik balik saman fitnahnya terhadap Pua. Ia juga mengetepikan perintah injunksi yang diperoleh Najib dalam samannya.

Pua kemudiannya memfailkan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan itu tetapi panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Datuk Nallini Pathmanathan menolak permohonan beliau semalam. - Bernama