Beri keutamaan terhadap RUU Gangguan Seksual

Dr Wan Azizah. - Foto Sumber Internet
Dr Wan Azizah. - Foto Sumber Internet
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberi perhatian terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual supaya ia dibentangkan di Parlimen secepat mungkin.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, jawapan yang diberikan di Dewan Rakyat tidak memperincikan garis masa pelaksanaan RUU Gangguan Seksual tersebut.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, undang-undang sedia ada hanya mengawal selia jenayah gangguan seksual yang berlaku di tempat kerja, sedangkan sepatutnya merangkumi ruang awam agar bersifat lebih menyeluruh.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini telah menetapkan bahawa RUU Gangguan Seksual yang telah siap akan dibentang pada Sidang Dewan, Mac lalu.

"Ia merangkumi definisi gangguan seksual yang lebih menyeluruh dan mekanisme pengaduan serta penyelesaian yang lebih efektif, elemen remedi dan penalti serta mengesyorkan piawaian beban pembuktian yang bersesuaian dan adil buat semua pihak terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azizah berkata, sesi Parlimen pada Mac lalu bagaimanapun telah ditunda disebabkan penularan wabak Covid-19 menyebabkan pembentangan RUU tersebut tertangguh.

Sehubungan itu, beliau menggesa kementerian memberi keutamaan untuk membentangkan RUU tersebut secepat mungkin.

“Ini kerana ketika ini kebanyakan mangsa yang melibatkan wanita, lelaki dan kanak-kanak tidak mempunyai saluran yang tepat dalam membuat aduan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku,” katanya.

Artikel Berkaitan: