Mangsa kes gangguan seksual diminta tampil buat laporan

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Muhamad Zaki (kanan) melawat gerai makanan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Tanah Merah pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Muhamad Zaki (kanan) melawat gerai makanan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Tanah Merah pada Selasa.
A
A
A

TANAH MERAH - Seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual pemandu prebet sapu pada Ramadan lalu diminta tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sebarang perlakuan jenayah yang berlaku sepatutnya dilaporkan ke salurkan yang betul iaitu pihak polis berbanding ditularkan ke media sosial atau kumpulan WhatsApp.

“Setakat ini, polis belum menerima sebarang laporan berkaitan bagaimanapun pemeriksaan dilakukan berdasarkan video yang tular.

“Jika benar seperti didakwa, maka tindakan seterusnya akan diambil mengikut undang-undang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah pada Selasa.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah.

Beliau dalam pada itu mengingatkan orang ramai supaya tidak menularkan sesuatu dakwaan sebelum dipastikan kesahihannya kerana tindakan itu boleh menjejaskan pihak yang dituduh.

“Musim ini ramai yang menggunakan pengangkutan awam dan perkara tular boleh menjejaskan reputasi mereka.

“Keadilan perlu diberikan kepada semua. Kalau betul berlaku, datang balai untuk polis lakukan siasatan,” ujarnya.

Pada Isnin Sinar Harian melaporkan satu rakaman video berdurasi dua minit tular membabitkan seorang wanita berusia 50-an mendakwa disuruh melakukan perbuatan tidak senonoh ketika menggunakan perkhidmatan prebet sapu di bandar Kota Bharu untuk pulang ke rumahnya.