Jadilah ahli Parlimen berhemah

No Image Caption
A
A
A

ISU gelagat segelintir ahli-ahli Parlimen yang keterlaluan dan tidak menghormati Dewan Rakyat dalam perbahasan dan tidak beretika jelas mengecewakan.

Apa yang berlaku di Parlimen masa kini dapat disaksikan melalui ‘lagak’ ahli-ahli Parlimen yang membawa kepada satu budaya perbahasan dan perdebatan yang tercabut adab dan akhlak dalam dewan yang begitu mulia.

“Itu bukan zoo. Itu Dewan Rakyat kita,” kata Datuk Azhar Azizan Harun, Speaker Dewan dalam sidang media pertama selepas dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ke-10.

Sidang Parlimen kali ini menjadi trending dan paling ramai diikuti secara langsung melalui media sosial. Sidang kali ini juga ‘panas’ kerana ia telah tertangguh dek mengurus pandemik Covid-19. Kerajaan meletakkan keutamaan menyelamat nyawa dan keselamatan rakyat berbanding dengan hal ehwal lain.

Namun sidang kali ini juga menyaksikan ahli Parlimen menjadikan gelanggang perdebatan berkaitan persoalan politik dan peralihan kuasa. Sesetengah ahli Parlimen melempiaskan rasa dendam dan ketidakpuasan hati dengan adegan cabar-mencabar yang keterlaluan.

Bagi mereka yang pernah bertugas dan menjadi pemerhati ketika sidang berjalan sebelum ini, adegan pergaduhan ketika berdebat atau berbahas sebagai lumrah biasa. Begitulah gaya Parlimen yang menjadi standard politik.

Dalam dewan Parlimen bagai ‘anjing dan kucing’, namun di luar dewan mereka kembali normal, boleh bersembang dan bergurau senda.

Mungkinkah mereka berlakon? Namun itulah realiti ahli Parlimen demi memperjuangkan pandangan dan mengangkat persoalan rakyat di kawasan Parlimen masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Cuma membezakannya adalah sejauh mana ahli Parlimen berhujah secara berhemah. Provokasi baik di blok kerajaan atau blok pembangkang dianggap perkara biasa demi mempengaruhi hujah yang disampaikan.

Sidang Parlimen di United Kingdom, Australia, New Zealand dan Singapura dikatakan menarik ditonton. Sama ada ia berupa lakonan namun menampakkan ketinggian ilmu dan adab. Walaupun pernah dikatakan lebih bertamadun, sarat dengan hujah dan data meyakinkan ketika berhujah, namun ia juga pernah dicemari dengan insiden yang di luar jangkaan.

Mengikut rekod, banyak adegan membaling kerusi, bertumbuk dan mencekik dalam kalangan ahli Parlimen di luar negara. Apabila emosi mengatasi kewarasan, banyak perkara di luar kawalan boleh berlaku.

Watak

Sebelum ini pun ramai ahli Parlimen yang diminta keluar oleh Speaker Dewan. Malah langkah itu bukannya normal baharu politik. Sesetengah ahli dewan memang sengaja ‘berwatak jahat’ sehingga diminta keluar dewan daripada bersidang.

Namun jika keterlaluan, mengeluarkan kata-kata menghina, mencemuh, kurang ajar dan menyakiti hati dan kasar, mereka perlu dihukum.

Sebenarnya rakyat menyaksikan gelagat ahli Parlimen mereka. Ada yang terhibur dengan adegan dan cara wakil mereka berbahas dan mematahkan hujah.

Namun rakyat khususnya pengundi mahukan wakil mereka menunjukkan kesopanan dan kesusilaan. Menjunjung prinsip nilai-nilai murni dan berdebat dengan berhemah dan beradab.

Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat perlu menunjukkan contoh yang baik dan teladan yang boleh dijadikan role model kepada generasi muda sebagai pelapis bagi masa hadapan.

Sudah sampai masanya semua ahli Parlimen mengikuti kursus penghayatan Rukun Negara agar lebih bertatasusila dan berhemah ketika sidang Parlimen dijalankan. Perkara sama juga perlu dikembangkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri.

Namun yang penting parti politik dan ahli Parlimen perlu mengadakan perbincangan dalaman untuk mencari kaedah yang lebih baik bagi memperbaiki adab perbahasan di Parlimen.

Perbahasan Parlimen selalu tegas, tetapi ahli Parlimen mesti membezakan jawapan yang cerdik dengan tajam dan jitu dan mengelakkan penyataan berbaur perkauman dan seksis.

Jangan dek gelagat ahli Parlimen, rakyat tidak lagi menghormati Dewan Parlimen sebagai lambang struktur demokrasi kerajaan dan mencerminkan aspirasi rakyat melalui perwakilan yang dipilih.

Jadikan Parlimen Malaysia sebagai badan penggubal undang-undang tertinggi negara yang perlu dimuliakan.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara