PN jumpa PM bincang isu agihan peruntukan ahli Parlimen

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan isu agihan peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang yang masih belum selesai ketika ini.

Ketua Whipnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu diambil selepas PN kecewa dengan kenyataan Anwar yang mengatakan masih menunggu permohonan.

"Situasi itu sama sekali bercanggah dengan apa yang berlaku. Kami (PN) sudah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof pada 8 April lalu bagi membincangkan perkara tersebut.

"Oleh itu, selepas ini saya bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas diminta mengulas mengenai isu agihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Sebelum itu, beliau merasmikan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen dan Pas Kawasan Kota Bharu di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Badaraya Islam (MPKB-BRI) dekat sini pada Isnin.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, peruntukan tersebut sepatutnya disalurkan tanpa mengenakan sebarang syarat kerana wang terbabit akan disalurkan kepada rakyat dan bukannya ahli Parlimen.

Takiyuddin (tengah) bersama tetamu yang hadir di Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen dan Pas Kawasan Kota Bharu di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Badaraya Islam (MPKB-BRI), Kota Bharu pada Isnin.
Takiyuddin (tengah) bersama tetamu yang hadir di Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen dan Pas Kawasan Kota Bharu di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Badaraya Islam (MPKB-BRI), Kota Bharu pada Isnin.

Ujarnya, perkara yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen itu ada asasnya kerana kerajaan hari ini telah berjanji dalam manifesto mereka sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Tambah beliau, alasan supaya mengemukakan permohonan itu dilihat tidak relevan kerana peruntukan sudah ada dan ia cuma perlu disalurkan sahaja.

"Saya nampak tidak perlu kerajaan menyulitkan proses kerana ahli Parlimen PN berdepan dengan permohonan daripada rakyat melibatkan sumbangan, pembangunan,kebajikan dan lain-lain yang mana kita tidak dapat menyalurkan peruntukan ini kerana tidak dapat dana daripada kerajaan pusat

"Kita harapkan kerajaan prihatin dan ambil tindakan secepat mungkin kerana bulan Oktober ini sudah ada bajet baharu yang akan dibentangkan," ujarnya.