78 individu ingkar arahan PKP ditahan

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 78 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seorang individu direman dan 35 individu dijamin manakala 42 individu lagi dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar PKP termasuk aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan jarak sosial dan aktiviti melanggar prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM membuat 64,303 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Selain itu, Ismail Sabri berkata, seramai 14 warga asing ditahan dalam Operasi Benteng semalam dalam usaha pihak berkuasa mengawal ketat sempadan negara daripada dibolosi pendatang tanpa izin bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Dalam operasi itu, 67 sekatan jalan raya diadakan dan 40,495 kenderaan diperiksa bagi menghalang kemasukan pendatang tanpa izin terutama di lorong tikus.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, 934 rakyat Malaysia pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2, dari Jepun, Indonesia, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Singapura, Australia, Turki, Korea Selatan, India, Bangladesh dan Iran.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, hanya seorang individu dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut manakala selebihnya diperintah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan: