Anak tiada dokumen, Ismawati diminta tampil

Norhayati bersama anak angkatnya, Kamal menunjukkan gambar Ismawati.
Norhayati bersama anak angkatnya, Kamal menunjukkan gambar Ismawati.
A
A
A

TEMERLOH - Seorang suri rumah di sini merayu ibu kandung kepada anak angkatnya yang dipelihara sejak lahir tampil demi masa depan kanak-kanak tersebut.

Norhayati Harun, 60, dari Mentakab di sini berkata, dia gusar dengan masa depan Kamal Alif, 5, yang kini membesar dan memerlukan dokumen rasmi untuk sebarang urusan.

Menurutnya, ibu kandung kanak-kanak tersebut dikenali sebagai Ismawati Samsudin, 28, bekerja di sebuah kedai makan di sini dan berasal dari Jawa Tengah, Indonesia.

"Saya mengambil anak tersebut sejak lahir lagi di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh pada 1 Julai 2015.

"Kali terakhir kami bertemu wanita terbabit ketika anak berusia 2 tahun lebih.

"Ketika itu anak sulung yang dapat menghubunginya melalui Facebook tapi kini tidak dapat dijejaki kerana dia sering bertukar nombor telefon dan profil Facebook," dakwanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.

Jelasnya, dia gagal membuat proses dokumentasi ketika itu kerana Ismawati tampil tanpa sebarang dokumen termasuk pasport yang didakwa disimpan bekas majikannya.

Menurutnya, wanita itu kemudian memberitahu ingin pulang ke negara asal dan menyiapkan dokumen rasmi, namun sehingga kini hilang tanpa sebarang khabar berita.

Artikel Berkaitan:

Norhayati berkata, dia sekeluarga sayang dan semua empat anak kandungnya melayan Kamal seperti adik kandung sendiri.

"Saya berharap wanita terbabit tampil dan menghubungi saya untuk memastikan sebarang proses dokumentasi rasmi dapat dibuat dengan lancar," katanya.

Mereka yang mempunyai maklumat dan mengenali Ismawati boleh menghubungi Norhayati di talian 019-9289963.