Adik Qaireen hidap jantung tersumbat

QAIREEN ADRIANA TIHANI
QAIREEN ADRIANA TIHANI
A
A
A
KUANTAN - Seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang menderita penyakit jantung tersumbat dan injap yang bocor sejak dilahirkan memohon bantuan orang ramai bagi menampung kos pembedahan yang dianggarkan berjumlahRM 35,000.

Qaireen Adriana Tihani dari Bukit Tinggi, Bentong di sini disahkan menghidap penyakit itu sejak dilahirkan dan telah beberapa kali menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).

Ayahnya, Mohamed Haffiez Mansor Taridi, 34 berkata, dia kini mengharapkan sumbangan orang ramai kerana tidak mampu membiayainya kos pembedahan anaknya sebanyak tiga kali yang telah menelan belanja kira-kira RM100,000.

Berkongsi cerita mengenai anaknya, anak sulung daripada tiga adik-beradik itu mula menjalani pembedahan kali pertama ketika berusia lima belas hari selepas dilahirkan pada 2011.

“Selepas Qaireen dilahirkan dan dibawa balik ke rumah, tanda-tanda awal kami sudah nampak seperti Qaireen tak boleh tidur dan sering tersedak susu dan pada mulanya doktor mengesyaki anak kami kena demam kuning.

“Namun apabila anak saya menjadi biru, hospital terus membawa anak saya ke unit kecemasan serta koma kira-kira empat hari dan ketika itu kami mula mendapat tahu bahawa anak kami mempunyai masalah di jantung... Ketika itu, hanya ALLAH SWT saja tahu perasaan saya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, bukan hendak menolak takdir, namun sebagai ayah dan ibunya, Fazleen Noor Adnan, 30, sudah tentu ingin melihat anak mereka membesar dalam keadaan sihat seperti kanak-kanak lain.

“Setiap hari saya berdoa supaya nyawa anak saya dapat diselamatkan dan bulan ini, Nursuhaila perlu menjalani pembedahan untuk menutup saluran injap jantungnya di Institusi Jantung Negara (IJN)," katanya.

Mohamed Haffiez yang juga merupakan Penolong Setiausaha Majlis Belia 4B Pahang berkata, dengan pendapatan dirinya sekitar RM1,500 yang bekerja di sebuah hotel sukar untuk mereka membiayai kos pembedahan anaknya itu di samping mempunyai lagi dua anak.
Artikel Berkaitan:


"Isteri tidak dapat bekerja dan berhenti kerana perlu memantau serta menguruskan keadaan anaknya kerana dia sering demam dan sukar bernafas. Malah, pembedahan kali ini untuk membaiki injap jantung yang bocor dan juga membuka saluran injap yang sempit.

“Setakat ini saya hanya berjaya mengumpul RM12,000 hasil sumbangan orang ramai dan ketika ini saya buntu di mana lagi saya ingin mencari duit untuk membayar operasi anak saya yang perlu melakukan pembedahan pada 11 Disember depan,” katanya.

Tambah Mohamed Haffiez, anaknya juga perlu mendapatkan rawatan susulan di IJN setiap dua bulan sekali dan memakan kos perubatan dan perjalanan sebanyak RM800.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada Majlis Belia 4B Negeri Pahang kerana telah membantu saya dengan membuka ruangan sumbangan di media sosial yang sedikit sebanyak boleh membantu saya,” katanya.

Kepada yang mahu menghulurkan bantuan boleh menyumbang ke akaun Maybank 106062140735 atas nama bersama, Mohamed Haffiez Mansor Taridi dan Qaireen Adriana Tihani atau boleh hubungi di talian 019-6060168.