Gadis dayung bot seorang diri nak bantu nenek

PEKAN – Sudah menjadi rutin bagi Nor Ain Aliya Muhamad, 15, mendayung bot seorang diri sejauh kira-kira 200 meter ke gerai keluarganya setiap kali banjir menenggelami Kampung Temai Tengah.
Menurut gadis itu, kemahirannya mengemudi bot bermula sejak berumur lapan tahun apabila rumah neneknya sering dinaiki air pada musim hujan.
Berbekalkan pengalaman itu, dia memberanikan diri mendayung bot sendiri bagi membantu keluarga meneruskan kehidupan ketika laluan darat terputus akibat banjir termenung, iaitu keadaan air tidak mengalir dan kekal lama.
“Naik bot ini sudah rutin saya. Bila banjir dan air bertakung lama, saya perlu mendayung bot untuk bantu nenek berniaga. Saya sedar risiko terjatuh, jadi saya sentiasa berhati-hati,” katanya kepada Sinar Ahad baru-baru ini.
Menurut Nor Ain Aliya, kedudukan rumah mereka yang rendah menyebabkan kawasan itu akan menyebabkan banjir setinggi dua meter dan mengalami banjir temenung, manakala jalan alternatif berhampiran tidak dapat dilalui.
“Air dalam memang ampuh (sampai) kepala, kalau jatuh bahaya. Tapi, saya sudah biasa kalau banjir memang kena naik bot untuk ke gerai depan itu.
“Tapi berdasarkan keadaan, selalunya mungkin dalam tempoh seminggu baru air surut sepenuhnya,” ujarnya sambil mendayung bot milik keluarga mereka.
Dalam pada itu, Nor Ain Aliya yang sudah menetap bersama neneknya sejak berumur enam tahun turut memaklumkan ibu bapanya tinggal di Kampung Merchong, Pekan bersama adik-beradiknya yang lain.
Bercerita lanjut, anak keempat daripada lapan beradik itu berkata, dia pernah berdepan pengalaman pahit apabila terjatuh ke dalam air banjir ketika berusia 12 tahun.
“Nasib baik saya sudah mahir berenang sejak kecil, jadi dapat kembali ke tebing dengan selamat.
“Sejak kejadian itu, saya lebih berhati-hati dan yakin untuk mengendalikan bot sendiri,” jelasnya yang menetap di sini kerana mahu menjaga neneknya.
Selain mendayung bot, Nor Ain Aliya turut membantu menjual di gerai makanan pagi neneknya dengan menyediakan pelbagai hidangan seperti donat, kuih bakar, pau kukus, pau goreng dan nasi lemak.

Menurut gadis tersebut, juadah itu menjadi kegemaran penduduk kampung sama ada ketika banjir mahupun pada hari-hari biasa.
“Saya bukan hanya bantu menjual, tapi kalau ada pelanggan yang minta dihantar ke rumah, saya sendiri yang akan hantar,” katanya yang membuka gerai bermula jam 6.30 pagi.
Sementara itu, neneknya, Zawiyah Harun, 74, turut bersyukur kerana cucunya sentiasa membantu di rumah dan gerai makan pagi yang diusahakannya sejak hampir 10 tahun lalu.
“Memang selalu pesan supaya dia hati-hati naik bot. Tapi dia dah biasa,” katanya yang tinggal di rumah itu bersama Nor Ain Aliya, seorang anak dan seorang lagi cucu.
Ringkasan AI
- Nor Ain Aliya Muhamad, 15, rutin mendayung bot seorang diri 200 meter ke gerai keluarganya bila banjir menenggelami Kampung Temai Tengah
- Kemahiran mengemudi bot bermula sejak berumur lapan tahun kerana sering menghadapi banjir di rumah neneknya
- Menyedari risiko terjatuh, Nor mengaku sentiasa berhati-hati ketika mendayung bot terutamanya ketika banjir temenung
- Nor tinggal bersama neneknya sejak berumur enam tahun di Kampung Merchong, Pekan dan turut membantu berniaga
- Selain mendayung bot, beliau juga membantu menjual dan menghantar makanan dari gerai neneknya kepada pelanggan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

