Durian kampung murah, jualan cecah 400kg sehari

KUANTAN - Harga durian kampung yang dijual serendah RM10 sekilogram sejak Khamis lalu menarik perhatian pembeli apabila jualannya mencecah sehingga 400 kilogram (kg) sehari.
Peniaga, Johari Dollah, 35, berkata, penurunan harga itu dipengaruhi oleh lambakan hasil durian dari Jerantut, Raub dan Johor Bahru ketika ini.
“Beberapa hari lalu, durian kampung dijual sekitar RM15 sekilogram sebelum mencatat sedikit penurunan harga sejak semalam.
“Perubahan itu merancakkan jualan kerana ‘raja buah’ ini mempunyai peminat tersendiri yang menggemari rasa serta aromanya,” katanya ketika ditemui gerai duriannya di sini pada Jumaat.
Johari yang mesra dipanggil Jeo memaklumkan, selain durian kampung, durian premium seperti Musang King dan IOI juga dijual pada harga lebih rendah, bergantung kepada gred dan saiz.

Jelasnya, Musang King kini ditawarkan pada harga antara RM20 hingga RM35 sekilogram berbanding sekitar RM45 sebelum ini.
“Dengan harga yang lebih rendah sekarang, orang ramai tidak lagi perlu risau untuk menikmati durian premium.
“Ia juga membuka peluang kepada pembeli untuk mencuba pelbagai jenis durian yang sebelum ini sukar dijangkau,” katanya yang sudah 10 tahun berkecimpung dalam perniagaan ini.
Sementara itu, Rahman Kasin, 55, berkata, pembeli kini lebih mudah mendapatkan durian kampung berikutan bekalan yang banyak.
“Durian kampung bersaiz besar kini dijual sekitar RM25 sekilogram, manakala saiz lebih kecil ditawarkan pada RM15.
“Walaupun kecil, buah ini tetap mendapat sambutan kerana manis dan aromanya yang kuat,” katanya.

Menurut Rahman, lambakan hasil pada musim ini menjadikan jualan durian kampung lebih rancak, dengan permintaan tinggi daripada pembeli.
“Setiap hari jualan berjalan lancar, menunjukkan ramai pembeli menghargai durian kampung walaupun saiz buah berbeza-beza,” tambahnya.
Ringkasan AI
- Harga durian kampung di Kuantan serendah RM10 sekilogram menarik banyak pembeli dengan jualan mencapai 400kg sehari
- Penurunan harga durian disebabkan oleh lambakan hasil dari Jerantut, Raub dan Johor Bahru
- Durian premium seperti Musang King dan IOI juga dijual pada harga lebih rendah, iaitu antara RM20 hingga RM35 sekilogram
- Pembeli kini lebih mudah mendapatkan durian kampung dengan banyaknya bekalan yang ada
- Lambakan hasil durian pada musim ini menyebabkan jualan durian kampung meningkat dengan permintaan tinggi dari pembeli
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

