Keputusan tidak laksana PPSMI langkah tepat: DBP

Kesan buruk PPSMI terlihat juga dalam kemerosotan minat pelajar untuk memilih aliran sains sehingga hanya kira-kira 25 peratus sahaja jumlahnya dan masalah itu menimbulkan kesan kepada jumlah pelajar sains dan teknologi di institusi pengajian tinggi (IPT) yang juga merosot.
Kesan buruk PPSMI terlihat juga dalam kemerosotan minat pelajar untuk memilih aliran sains sehingga hanya kira-kira 25 peratus sahaja jumlahnya dan masalah itu menimbulkan kesan kepada jumlah pelajar sains dan teknologi di institusi pengajian tinggi (IPT) yang juga merosot.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyifatkan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tidak akan melaksanakan semula Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) semalam merupakan keputusan tepat.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan berkata, KPM semasa di bawah teraju Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pendidikan pada tahun 2011 telah memutuskan pemansuhan PPSMI sesudah kajian yang dilakukan oleh pelbagai institusi bahasa dan pendidikan, termasuk universiti dan persatuan serta orang perseorangan menunjukkan kesilapan dan kegagalan program itu.

Menurutnya, semua kajian menunjukkan bahawa PPSMI tidak berjaya mencapai hasrat Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamad untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

"Di sebalik perbelanjaan besar yang melebihi RM5 bilion, pencapaian PPSMI hanya sekitar tiga peratus dan menyebabkan kemerosotan yang nyata bagi pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

"Rata-rata kajian menunjukkan bahawa lebih 70 peratus pelajar dan guru tidak menganggap PPSMI sebagai program yang tepat bagi hasrat peningkatan penguasaan bahasa Inggeris, Sains dan Matematik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Awang yang juga Penyandang Kursi Za'ba, Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, pencapaian pelajar negara dalam ujian antarabangsa yang berkaitan dengan Sains dan Matematik seperti PISA merosot dengan ketara sesudah pelaksanaan PPSMI.

Menurutnya, kesan buruk PPSMI terlihat juga dalam kemerosotan minat pelajar untuk memilih aliran sains sehingga hanya kira-kira 25 peratus sahaja jumlahnya dan masalah itu menimbulkan kesan kepada jumlah pelajar sains dan teknologi di institusi pengajian tinggi (IPT) yang juga merosot.

"Penggantian PPSMI dengan Program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBBI) telah mula memperlihatkan kesan positif dan tiada keperluan PPSMI ditimbangkan untuk dilaksanakan semula.

Artikel Berkaitan:

"Demikian juga Program Dwibahasa (DLP) perlu dinilai semula pelaksanaannya kerana mewujudkan polarisasi dalam kalangan pelajar, iaitu sejumlah pelajar mengikuti Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan sekelompok lagi dalam bahasa Melayu, " katanya.

Bagi menambah baik kemahiran pelajar dalam mata pelajaran bahasa Inggeris, Awang menegaskan pakar bahasa dan pendidikan telah menawarkan penyelesaian dengan meningkatkan penambahbaikan yang meliputi bidang kurikulum, latihan guru, pedagogi atau kaedah pengajaran dan bahan ajar.

"DBP telah menubuhkan pasukan yang diketuai oleh pakar pendidikan, iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr Isahak Haron untuk mengemukakan langkah praktis dalam peningkatan pengajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam, "katanya.

Semalam, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin dalam sidang Parlimen menjelaskan pendirian kerajaan Perikatan Nasional untuk tidak meneruskan pelaksanaan PPSMI di sekolah sebagaimana dicadangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tahun lalu.

Sebaliknya, beliau menegaskan langkah pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular akan diteruskan dengan syarat dipersetujui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan murid.

ARTIKEL BERKAITAN KPM tidak akan perkenal semula PPSMI