X

Kindly register in order to view this article
!

Jawi, MAIWP disyor hantar mualaf belajar ke Timur Tengah

Zulkifli (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada penerima tempat pertama Kelas Tahap Asas Sesi Julai 2019, Mardhiah Maslina pada majlis apresiasi Kelas Pengajian Mualaf Jawi Sesi 2019/2020 di Kompleks Darul Hidayah hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) disyorkan supaya turut menghantar peserta Kelas Pengajian Mualaf yang berkelayakan ke universiti-universiti Islam di Timur Tengah terutama Universiti Islam Madinah, Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, golongan mualaf juga terbukti boleh menjadi pendakwah berkaliber dan boleh memahami ajaran Islam dengan baik jika komited mempelajari Islam.

“Jika layak dan cukup syarat, saya sendiri tidak teragak-agak untuk mencalonkan nama mereka untuk dihantar ke Universiti (Islam) Madinah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Majlis Apresiasi Kelas Pengajian Mualaf Sesi 2019/2020 di Dewan Seminar Saidina Abu Bakar, Kompleks Darul Hidayah di sini hari ini.

Seramai 61 pelajar mualaf cemerlang Tahap Lanjutan daripada keseluruhan 200 orang yang berjaya menamatkan pengajian bertaraf sijil dirai dalam majlis tahunan anjuran Jawi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, walaupun hanya memiliki sijil, pelajar mualaf kalangan awam itu boleh diserapkan ke institusi-institusi pendidikan di bawah Jawi dan MAIWP sebelum dihantar ke Timur Tengah untuk mendalami Islam.

“Kita sudah ada Pondok Modern al-Abaqirah MAIWP, Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) dan beberapa sekolah lain yang hanya mensyaratkan sekurang-kurangnya memiliki SPM dan tahu asas bahasa Arab,” katanya.

Zulkifli menyifatkan program itu satu usaha yang amat baik untuk memantapkan pengetahuan individu yang baru memeluk agama Islam.

“Usaha sebegini perlu diteruskan Jawi dan MAIWP supaya golongan mualaf tidak ketinggalan dari segi kefahaman mereka terhadap ajaran Islam, seperti mereka yang asalnya Muslim,” katanya.

Kompleks Darul Hidayah terletak di Sentul, Kuala Lumpur dibina atas tanah seluas 0.8 hektar dengan dilengkapi asrama, dewan dan bilik kuliah yang boleh memuatkan 200 pelajar dalam satu-satu masa.

Bagi tahun 2020, MAIWP melalui Jawi memperuntukkan sejumlah RM2.9 juta bagi pengurusan program kebajikan dan pendidikan mualaf di kompleks berkenaan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!