Hussamuddin terima Anugerah Khas Sambutan Maal Hijrah Wilayah Persekutuan

Hussamuddin (dua dari kanan) menerima Anugerah Khas Tokoh Korporat sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1445H/2023M.
Hussamuddin (dua dari kanan) menerima Anugerah Khas Tokoh Korporat sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1445H/2023M.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Tokoh Korporat sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1445H/2023M.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan pada Rabu.

Penerimaan anugerah itu merupakan tanda pengiktirafan atas kejayaannya dalam bidang perniagaan dengan mengasaskan Syarikat Kumpulan Karangkraf pada 1978 yang kini menjadi syarikat penerbitan buku terkemuka.

Pencapaian beliau dalam menubuhkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas pada tahun 2013 turut mencetuskan pelbagai aktiviti keilmuan seperti Rumah Ngaji, World Quran Hour dan My #QuranTime yang berjaya menarik minat masyarakat untuk berinteraksi dan beramal dengan al-Quran sekaligus membangunkan legasi ummah berakhlak al-Quran.

Hussamuddin berkata, penganugerahan itu dapat dicapai hasil usaha semua ahli Kumpulan Karangkraf dan Warisan Ummah dalam menjayakan pelbagai program keagamaan seperti World Quran Hour.

Menurutnya, pengiktirafan tersebut sekali gus menjadi motivasi dan pemangkin semangat untuk menganjurkan lebih banyak acara keilmuan pada masa akan datang.

"Di dunia pun kita sudah dihargai dan kita berharap apa yang kita buat itu akan menjadi persembahan kita di padang mahsyar nanti.

"Selepas kita mulakan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas untuk menqurankan bangsa, kita buat kempen seperti Rumah Ngaji, World Quran Hour dan My #QuranTime.

"Jadi kempen-kempen itu, hasrat kita sebenarnya adalah untuk mereka mengamalkan sekurang-kurangnya satu jam setiap hari sepanjang tahun. Visi kita jelas," katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1445H/2023M pada Rabu.

Menerusi acara dibawah anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu, turut diumumkan penerima Anugerah Tokoh Utama iaitu Pengerusi Eksekutif Kumpulan Darul Fikir Sdn Bhd, Datuk Mohamad S Ahmaddan dan tiga anugerah tokoh lain bagi kategori tokoh pendakwah, Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al Hamid; tokoh pengerusi masjid, Mohd Shah Hasim serta tokoh mualaf, Masturina Maryam Wong Faizal.

Turut hadir adalah Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail.