X

Kindly register in order to view this article
!

MCA sentiasa dalam 'mod bertempur', siap sedia hadapi PRU15

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
A
A

JOHOR BAHRU - MCA sentiasa dalam ‘mod bertempur’ untuk berdepan segala kemungkinan termasuk pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.

Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, jentera di peringkat Pusat telah diarahkan untuk bersiap sedia dan menjelajah ke semua bahagian bagi tujuan itu.

“Setakat ini, bagi MCA Johor, daripada 26 bahagian kita telah turun berdialog dengan 23 bahagian.

“Pada masa sama, satu pasukan peringkat Pusat diketuai Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon dan naib-naib presiden menjelajah kesemua tempat dan untuk Zon Johor, beliau sendiri (Chong) turun dan telah melawat tujuh bahagian untuk meninjau persiapan mereka,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MCA Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, satu taklimat berhubung isu nasional dan senario politik terkini selepas penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga diberikan kepada ahli jawatankuasa MCA.

Wee berkata, persiapan menghadapi PRU perlu dilakukan segera bagi memastikan ia tidak dibuat pada saat akhir.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu juga berkata, PN tidak akan berdepan masalah dalam pembahagian kerusi pada PRU15 dan pihaknya sedia berbincang mengenai perkara tersebut.

“Kita telah lalui PRU sebanyak 14 kali, telah matang dan arif dengan sistem yang ada. Apa juga perbincangan mengenai pembahagian kerusi, ia adalah di peringkat Pusat.

“Kita sudah ada sistem iaitu berbincang, bermusyawarah dalam sama-sama mendukung perjuangan kita,” katanya.

Beliau juga yakin PN akan menggunakan kebijaksanaan dan budi bicara dalam meletak calon termasuk di kerusi tradisi yang ditandingi setiap parti komponen. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus