X

Kindly register in order to view this article
!

MKM, PKR sedia WiFi untuk pelajar

Anwar (tengah) beramah mesra dengan pelajar yang menggunakan kemudahan komputer dan WiFi di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Port Dickson.
A
A

PORT DICKSON - Persatuan Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) dengan kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menyediakan kemudahan komputer dan WiFi secara percuma buat pelajar di setiap negeri menerusi program Keadilan Cakna Siswa.

Naib Presiden MKM, Syamil Luthfi berkata, inisiatif itu diambil berikutan ada yang berdepan kesukaran untuk belajar secara dalam talian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana tiada kemudahan internet di rumah.

"Sebagai contoh pelajar di Sabah yang capaian internetnya sangat teruk. Jadi MKM bekerjasama dengan PKR melancarkan program ini yang mana pelajar boleh datang ke Pusat Khidmat Rakyat (PKR) untuk menggunakan kemudahan internet.

"Buat masa ini kita sudah laksanakan di 15 kawasan yang bermula di Kedah, Selangor dan kini di Negeri Sembilan iaitu di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Port Dickson," katanya ketika ditemui pada pelancarannya di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Port Dickson yang turut dihadiri Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan program itu dapat dilaksanakan di 38 buah Pusat Khidmat Parlimen dan 58 Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Katanya, bukan sahaja pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), pelajar sekolah juga turut berpeluang menggunakan kemudahan itu yang dibuka pada jam 10 pagi sehingga 4 petang.

"Jumlah pelajar yang boleh menggunakan kemudahan ini pada satu masa bergantung keluasan ruang pusat khidmat dan kami juga dalam proses mendapat persetujuan daripada ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Kita sasarkan seramai 20,000 pelajar terutama bawah kategori B40 dapat menikmati kemudahan ini yang akan disediakan sehingga hujung tahun ini," katanya.

Sementara itu, Anwar turut menyeru semua Pusat Khidmat Rakyat Parlimen dan DUN dapat menyediakan kemudahan itu yang dapat meringankan beban pelajar.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf