Malaysia, Iran tingkat kerjasama tangani Islamofobia

Zambry mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin tertinggi Iran pada lawatan rasmi tiga hari ke negara Iran.
Zambry mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin tertinggi Iran pada lawatan rasmi tiga hari ke negara Iran.
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia dan Iran berpotensi memainkan peranan signifikan dalam isu-isu global yang memberi impak kepada umat Islam, terutama dalam menangani isu Islamofobia secara bersama.

Sehubungan itu, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, lawatan yang berakhir pada Rabu merupakan usaha serius dan berterusan Malaysia untuk mengukuhkan hubungan dua hala dengan semua negara Islam susulan perkembangan geopolitik positif di rantau Asia Barat sejak kebelakangan ini.

Beliau memaklumkan, lawatan tersebut juga bertujuan mengembangkan lagi akses pasaran eksport komoditi dan produk pembuatan Malaysia ke Negara Bebas Komanwel (CIS).

"Kedudukan strategik Iran yang berkongsi sempadan dengan 15 negara lain berpotensi menjadi hab utama bagi eksport komoditi negara, terutamanya produk minyak sawit yang merupakan 70 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia dengan Iran.

"Selain itu, saya telah menyentuh mengenai isu keterjaminan makanan di mana Iran merupakan contoh sebuah negara yang berupaya untuk kekal mandiri dalam memastikan bekalan makanan mereka sentiasa berada pada kadar yang optimum," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

No Image Caption

Dalam pada itu Zambry memaklumkan, beberapa perkara penting juga berjaya dicapai meliputi perkembangan potensi kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang yang akan diperhalusi melalui Joint Commission Meeting (JCM) dan Joint Economic Commission (JEC).

Selain itu, turut dipersetujui adalah peluang kerjasama baharu dalam bidang sains dan teknologi, farmaseutikal, bioteknologi, nanoteknologi, peralatan perubatan dan penyelidikan berkaitan pembangunan vaksin.

Artikel Berkaitan:

"Kerjasama dalam bidang keterjaminan makanan terutamanya aktiviti penyelidikan dan industri halal, meneroka jaringan perhubungan udara yang lebih praktikal dan efisien bagi mengembangkan sektor pelancongan dan pertukaran rakyat.

"Meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan melalui pertukaran tenaga pengajar, penyelidik dan pelajar dalam pelbagai bidang," jelasnya.

Zambry turut menyifatkan lawatan peringkat tinggi Menteri Luar ke Iran selepas tujuh tahun itu berjaya membuka lembaran baharu hubungan dua hala serta hubungan Malaysia dengan rantau Asia Barat.

Sepanjang lawatan rasmi bermula 20 hingga 23 Ogos itu, beliau telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin tertinggi Iran termasuk Presiden Iran, Seyyed Ebrahim Raisi; Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf serta Menteri Luar Negeri Iran, Dr Hossein Amir Abdollahian.