Hospital unta terbesar dirasmikan di Arab Saudi

Pembukaan hospital unta terbesar di Buraidah, Arab Saudi bernilai AR100 juta (RM114 juta). - Foto AFP
Pembukaan hospital unta terbesar di Buraidah, Arab Saudi bernilai AR100 juta (RM114 juta). - Foto AFP
A
A
A

BURAIDAH - Emir Wilayah Qassim, Putera Dr Faisal Bin Mishal merasmikan hospital unta terbesar di dunia di Buraidah, Arab Saudi pada Ahad lalu.

Menurut laporan berita Saudi Press Agency (SPA) pada 8 Julai lalu, hospital Kumpulan Veterinar Salam akan merawat haiwan itu dan ia akan dilengkapi dengan kemudahan untuk diagnos pelbagai penyakit berkaitan dengan unta.

Menteri Alam Sekitar, Air dan Pertanian Arab Saudi, Abdulrahman Bin Abdul Mohsen Al-Fadhli turut hadir pada majlis perasmian itu.

Putera Dr Faisal kemudian menegaskan projek bernilai SR100 juta (RM114 juta) itu merupakan pencapaian kebangsaan dan telah dibangunkan dengan semangat profesionalisme yang tinggi.

Katanya, ia akan meningkatkan pembangunan kesihatan haiwan tersebut dan ubat-ubatan unta.

Tambahnya, hospital itu akan mengubah cara rawatan pelbagai penyakit yang menjangkiti unta dan ia akan memberi bantuan kesihatan kepada para pemilik haiwan tersebut.

Selepas merasmikan sebuah plak untuk hospital tersebut, Putera Dr Faisal melawat makmal khas yang mempunyai 60 peralatan dan peranti untuk mengendalikan lebih 160 analisis penyakit.

Putera Dr Faisal itu juga melawat dewan yang menjadi tempat pemeriksaan kesihatan unta. Dewan besar itu boleh memuatkan sebanyak 144 unta pada sebarang masa.

Artikel Berkaitan:

Putera Dr Faisal juga melawat pondok unta di kawasan yang luas dan boleh memuatkan sebanyak 4,000 haiwan itu pada satu-satu masa.

Beliau juga diberikan taklimat tentang model unit unta muda, unit rawatan rapi, unit skan tomografi berkomputer dan bilik pembedahan yang selamat.

Hospital itu dibina di kawasan seluas 70,000 meter persegi dan dilengkapi dengan banyak teknologi bagi meningkatkan pengeluaran dan penyelidikan bagi mengkaji punca pelbagai penyakit unta.

Hospital itu mempunyai ramai pakar-pakar untuk meningkatkan perkhidmatan kepada pengembala unta dan meningkatkan bilangan kelahiran haiwan tersebut.

Antara sasaran hospital itu adalah untuk melakukan perubahan dalam proses embriologi dan penyuburan secara tradisi unta-unta tersebut yang berusia antara 25 hingga 30 tahun.

Ketika ini, hospital itu berjaya membantu melahirkan tujuh ekor unta muda bagi setiap musim.

Sehingga kini, pihak hospital itu akan meningkatkan pengeluaran fetus daripada 100 kepada 700 fetus unta. - Agensi