Keselamatan siber Arab Saudi diiktiraf kedua terbaik di dunia

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

RIYADH - Keselamatan siber Arab Saudi diiktiraf sebagai kedua terbaik di dunia dalam Indeks Keselamatan Siber dalam Buku Tahunan Daya Saing Dunia (WCY) 2023 oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IIMD) yang berpangkalan di Switzerland.

Negara itu juga menduduki tempat ke-17 keseluruhan pada 2023 - melonjak tujuh anak tangga dari 2022 - dalam ranking daya saing keseluruhan, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).

Pengiktirafan terkini oleh IIMD adalah bukti usaha gigih entiti seperti Pihak Berkuasa Keselamatan Siber Kebangsaan (NCA) iaitu antara pihak berkuasa keselamatan utama Arab Saudi.

Arab Saudi telah mengukuhkan kedudukannya berdasarkan beberapa inisiatif dalam membina ekosistem keselamatan siber yang kukuh dan mampan.

Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) juga menetapkan Arab Saudi sebagai peneraju global dalam keselamatan siber.

NCA ialah pihak berkuasa nasional utama yang menangani perkara-perkara berkaitan kebimbangan siber di negara itu. Ia berfungsi mengukuhkan keselamatan siber Arab Saudi, membolehkannya melindungi keselamatan negara dan kepentingan negara.

Menurut SPA, NCA juga menetapkan piawaian yang diperlukan bagi pemberian lesen import, eksport, dan penggunaan perkakasan dan perisian membabitkan keselamatan siber. - Bernama