Pesakit terakhir Kluster Perhimpunan Sri Petaling dirawat lebih tiga bulan

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA- Seorang lelaki warga emas merupakan pesakit Covid-19 dari Kluster Perhimpunan Sri Petaling yang terakhir pulih dan discaj selepas lebih tiga bulan menerima rawatan di hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit yang berumur 83 tahun itu mula mengalami simptom pada 9 Mac dan telah dimasukkan ke Hospital Permai, Johor pada 16 Mac.

"Setelah dikesan positif Covid-19 pada keesokan harinya dia dipindahkan ke Hospital Enche Besar Hajah Kalsom (HEBHK), Kluang," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, semasa di HEBHK, pesakit itu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

"Dia telah discaj daripada ICU pada 21 Jun sebelum disahkan sembuh dan discaj daripada hospital pada 6 Julai," katanya.

Beliau berkata, kes tersebut merupakan subkluster Majlis Perkahwinan Bandar Baru Bangi yang mencatatkan 159 kes positif Covid-19.

"Pesakit yang berasal dari Batu Pahat, Johor ini merupakan generasi pertama bagi kluster Perhimpunan Sri Petaling," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes terakhir yang dikesan positif Covid-19 dari kluster tersebut dicatatkan oleh kes ke 8367.

Artikel Berkaitan:

"Ia melibatkan lelaki warga Filipina yang merupakan pelajar di sebuah Madrasah di Sungai Lui, Hulu Langat," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan adalah daripada subkluster Kampung Sungai Lui yang mencatatkan sebanyak 211 kes.

"Kontak rapat daripada subkluster ini telah ditempatkan di Pusat Kuarantin Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).

"Pada saringan ulangan (saringan ke sembilan) yang dijalankan pada 10 Jun, dia didapati positif tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala," katanya.

Beliau berkata, pesakit tersebut telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Dia disahkan pulih sepenuhnya dan dibenar discaj pada 24 jun," katanya.