Kes warga emas mati sendirian dalam rumah membimbangkan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk memberi langkah penjagaan efektif kepada warga emas yang tinggal bersendirian susulan terdapat kes melibatkan golongan tersebut yang ditemui meninggal dunia di sebuah rumah yang berkunci di Muar, Johor pada 24 April lalu.

Menurut Setiausaha Wanita Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Loh Ker Chean, peristiwa malang berkenaan sewajarnya menjadi isyarat bahawa insiden kematian warga emas yang hidup sebatang kara tanpa pengetahuan keluarga dan masyarakat di sekeliling bukan perkara asing lagi.

Jelasnya, kerajaan tempatan, negeri atau Persekutuan harus memberikan tumpuan utama kepada aspek kebajikan golongan tersebut yang hidup bersendirian.

“Bagi tujuan ini, sebagai cadangan pertama, kerajaan boleh menggalakkan dan membantu pemasangan atau penggunaan ‘butang panik’ di rumah-rumah warga emas yang tinggal bersendirian secara percuma.

“Butang panik ini yang boleh dipasang di dinding atau dipakai oleh warga emas berfungsi untuk menghubungi pihak polis dengan segera apabila seseorang warga emas memerlukan bantuan kecemasan,” katanya dalam satu hantaran Facebook pada Sabtu.

Ker Chean menambah, turut dicadangkan bagi komuniti setempat dan pihak berkuasa tempatan supaya mengumpulkan data warga emas yang tinggal secara bersendirian dan memeriksa keadaan mereka dari masa ke masa melalui panggilan telefon atau ziarah secara fizikal secara berkala.

“Di peringkat Persekutuan, kerajaan boleh mengukuhkan sistem sokongan penjagaan kesihatan dan kebajikan yang holistik dan berpatutan secara dalam komuniti untuk keperluan golongan warga emas.

“Ketiga-tiga cadangan ini boleh menjadi titik mula untuk kita bersama-sama memberikan perhatian dan mengutamakan aspek kesejahteraan golongan warga emas yang tentu sekali banyak sumbangannya kepada keluarga, masyarakat dan negara,” jelasnya.