Pengarah syarikat didakwa gubah wang haram lebih RM9 juta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang warga emas yang juga pengarah sebuah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram lebih RM9 juta sejak 2013 hingga 2017.

Bagaimanapun, Pengarah Semenyih Jaya Sdn Bhd Lau Kok Loon, 77, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Kok Loon didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang melalui akaun simpanan tetap Hong Leong Bank miliknya kepada akaun simpanan semasa bank sama yang juga miliknya melalui 34 transaksi pemindahan berjumlah RM9,155,644.23 yang juga hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hong Leong Bank cawangan utama Kuala Lumpur, Tingkat 1, Wisma Hong Leong, Jalan Perak di sini pada 4 Disember 2013 hingga 19 September 2017.

Di dakwa mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Subseksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang diwakili peguam S S Devanandan memohon jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM30,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

"Anak guam saya menghidap pelbagai penyakit termasuk kanser usus, sakit jantung dan sakit tulang belakang.

“Walaupun anak guam saya menghidapi pelbagai jenis penyakit, beliau tetap memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis setiap kali dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 20 Julai untuk sebutan semula kes. - Bernama