Nasib bekas pengurus stor dapat perhatian Econsave

Econsave menyampaikan sumbangan barangan dapur bernilai RM1,000 kepada Thiagu di kediamannya di Taman Seri Bayu pagi tadi.
Econsave menyampaikan sumbangan barangan dapur bernilai RM1,000 kepada Thiagu di kediamannya di Taman Seri Bayu pagi tadi.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang pengurus stor hilang punca pendapatan kerana tidak mampu bekerja setelah disahkan mengalami kegagalan buah pinggang tahap akhir, sejak tahun lalu.

M Thiagu, 39, dari Taman Seri Bayu, buntu memikirkan masalah kesihatan dan masa depan keluarga kerana dia juga telah didiagnosis menghidap darah tinggi dan anemia serta pernah diserang strok pada 2018.

Menurutnya, rawatan hemodialisis yang sepatutnya dijalankan tiga kali seminggu hanya dilakukan sekali seminggu akibat kekangan kewangan.

"Jika tak buat hemodialisis, berisiko untuk sukar bergerak, susah nak membuang air, badan membengkak dan darah jadi kotor, tetapi nak buat macam mana, nak pergi ke sana pun perlu bayar pengangkutan dan rawatan.

"Sejak diberhentikan kerja, isteri menyara saya bersama dua anak, dia bekerja sebagai tukang cuci sambilan dengan gaji sebanyak RM400 sebulan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Dia kini hanya bergantung harap pada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM350 sebulan.

Menurut Thiagu, dia telah membuat permohonan Pencen Ilat kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tujuan rawatan, namun sehingga kini masih belum diluluskan.

Beliau juga bimbang kerana perlu melunaskan ansuran rumah sebanyak RM430 sebulan, bil utiliti mencecah RM200, persekolahan anak-anak sebanyak RM200 serta rawatan hemodialisis mencecah RM420 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, penderitaan yang ditanggung keluarga itu mendapat perhatian Pasaraya Econsave yang menyampaikan sumbangan barangan dapur termasuk susu dan barang basah bernilai RM1,000.

Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, sumbangan disalurkan melalui Dana Econsave Prihatin bagi meringankan beban selain menceriakan pesakit.

Sementara itu, semakan Sinar Harian mendapati permohonan Thiagu kepada Pejabat Perkeso Sungai Petani telahpun diluluskan.

Pengurusnya, Shukri Mohammad Daud berkata, permohonan pesakit telah diluluskan pada 15 Jun lalu dan bayaran berkala Pencen Ilat akan dibayar melalui akaun bank sepanjang hayat beliau.