Pendakwa Raya mohon pinda amaun, nama bank bapa Jho Low

Jho Low
Jho Low
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendakwa Raya membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk meminda nama dan jumlah wang dalam akaun milik Tan Sri Larry Low Hock Peng iaitu bapa ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low.

Permohonan tersebut melibatkan beberapa ratus ribu ringgit daripada jumlah asal permohonan iaitu hampir RM48 juta yang dirampas daripada tujuh akaun Larry Low sebelum ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nuzul Azuar Zilkifli ketika ditemui di luar mahkamah berkata, setakat ini kerajaan belum melucuthakkan wang berkenaan.

“Kita memohon lanjutan masa untuk memfailkan hujahan bagi permohonan meminda notis lucut hak terbabit,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 24 Julai ini bagi mendengar hujahan permohonan untuk meminda notis tersebut.

Pada 19 Julai 2019 lalu, mahkamah sama membenarkan permohonan kerajaan untuk melucutkan hak terhadap wang RM48 juta yang dirampas daripada tujuh akaun milik Larry Low.

Tujuh akaun itu ialah daripada empat bank RHB masing masing berjumlah RM20,784,952.56; RM300,000; RM500,000 dan RM20 juta termasuk faedah manakala tiga Maybank Berhad masing-masing berjumlah RM6,613,970.78; RM462,618.38 dan RM318,021.95 termasuk faedah.

Mohamed Zaini membuat keputusan itu, selepas pihak ketiga tidak hadir untuk memberikan alasan, harta itu tidak boleh dilucutkan hak kepada kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, selain Jho Low; bapanya, Larry Low; ibu, Goh Gaik Ewe dan keluarganya, berada dalam buruan polis dan dikehendaki bagi membantu siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mereka gagal dikesan sehingga hari ini dan waran tangkap sudah dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Pada 21 Jun tahun lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, SPRM memfailkan permohonan kepada mahkamah untuk mendapatkan semula wang daripada 41 responden berjumlah RM270 juta yang dikatakan mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank Najib.