X

Kindly register in order to view this article
!

APMM terima dua kapal peronda generasi baharu

Hamzah (tiga kiri) meninjau kapal generasi baharu yang diterima APMM hari ini. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A

PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima dua kapal peronda generasi baharu New Generation Patrol Craft (NGPC) iaitu Kapal Maritim Kota Kinabalu (KM Kota Kinabalu) dan Kapal Maritim Tok Bali (KM Tok Bali) yang akan memperkuatkan lagi agensi tersebut bagi mengekang pencerobohan bot nelayan asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penerimaan dua kapal NGPC ini akan memperkasakan lagi penguatkuasaan dalam membanteras kesalahan-kesalahan di dalam Zon Maritim Malaysia (ZMM) terutama isu pencerobohan bot nelayan asing yang hangat diperkatakan umum.

Menurutnya, kerajaan melalui KDN amat serius dalam menangani semua perlakuan jenayah di dalam dan pelbagai usaha serta inisiatif sedang dilakukan untuk mengupayakan Maritim Malaysia daripada pelbagai aspek termasuk aset laut dan udara, infrastruktur serta keanggotaan.

"Keperluan mengupayakan APMM adalah tepat pada masanya berikutan keanggotaan APMM di dalam National Task Force dan melaksanakan Op Benteng bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dengan mengoptimumkan aset-aset laut dan udara, perkongsian maklumat serta memanfaatkan teknologi Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA).

"Dua kapal ini merupakan lima daripada enam kapal NGPC yang telah diterima oleh APMM, manakala kapal keenam masih di dalam proses pembinaan.

"Perolehan enam NGPC ini melibatkan kos sejumlah hampir RM400 juta. Kesemua NGPC dibina sepenuhnya di dalam negara oleh syarikat tempatan Destination Marine Services Sdn Bhd," katanya.

Kapal KM Kota Kinabalu dan KM Tok Bali yang diserahkan oleh Marine Service Sdn Bhd kepada APMM, hari ini. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Kapal KM Kota Kinabalu dan KM Tok Bali yang diserahkan oleh Marine Service Sdn Bhd kepada APMM, hari ini. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis penerimaan dua kapal peronda APMM generasi baharu New Generation Patrol Craft (NPC) iaitu Kapal Maritim Kota Kinabalu (KM Kota Kinabalu) dan Kapal Maritim Tok Bali (KM Tok Bali) di sini hari ini, di Limbongan Destination Marine Services Sdn Bhd, Pelabuhan Klang.

Majlis tersebut turut disaksikan, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Jamil Rakon dan Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Menurut Hamzah lagi, KM Kota Kinabalu ini akan ditempatkan di Kuching, Sarawak manakala KM Tok Bali akan ditempatkan di Tok Bali, Kelantan.

Menurutnya, penempatan kedua-dua kapal ini adalah lebih tertumpu kepada membanteras pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara khususnya di Laut China Selatan.

Hamzah turut menjelaskan kapal NGPC ini berukuran 45 meter panjang dengan kelebaran 7.7 meter serta mampu berlayar dengan kelajuan 24 knot. NGPC ini mampu beroperasi selama 10 hari di laut tanpa ulang bekal bagi tugas penguatkuasaan serta tugas carilamat.

NGPC ini juga dilengkapi dengan Meriam 30 milimeter Aselsan, Rigid Inflatable Boat (RIB) sepanjang 7 Meter, Long Range Surveillance Camera (kamera pemantau yang mampu mengambil gambar siang dan malam) dan Unmanned Aerial Vehicle (UAV) atau dron yang berupaya melakukan pemantauan udara dengan jarak jauh.

"Di samping itu, NGPC juga memiliki kelengkapan dalam mengendalikan tumpahan minyak secara komprehensif.

“Maritim Malaysia juga bakal menerima tiga kapal Offshore Patrol Vessel (OPV) yang berkeupayaan melaksanakan operasi di laut dalam tempoh maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.

"Kapal OPV pertama dijangka diterima pada hujung tahun ini, manakala selebihnya dijangka siap pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata, OPV ini berukuran 83 meter panjang dengan 13.7 meter lebar dan melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal-kapal kecil.

Menurut beliau lagi, OPV ini dilengkapi dengan meriam, berkelajuan 21 knot dengan dilengkapi fasiliti seperti tapak pendaratan helikopter, bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) dan bilik rawatan serta bilik tahanan.

Beliau berkata, OPV ini juga didatangkan bersama radar X dan 'S band' bagi memastikan rondaan mampu bergerak secara meluas serta boleh menempatkan 70 orang anak kapal dengan 20 penumpang dalam satu masa bagi melaksanakan operasi di laut.

“Sebagai agensi utama yang menjaga kawasan perairan negara, kemampuan APMM akan diperkasakan dari semasa ke semasa dengan perolehan aset-aset baharu yang dilengkapi pelbagai kemudahan berteknologi tinggi.

“Kementerian Dalam Negeri juga dalam proses memajukan permohonan bagi perolehan Multi Purpose Mission Ship (MPMS) atau kapal induk yang dilengkapi dengan peralatan canggih berteknologi tinggi serta berkemampuan membawa 6 unit fast interceptor craft dan UAV, ” kata beliau.

Menurutnya, dengan keupayaan aset seperti ini, pihaknya yakin dalam masa terdekat APMM akan setanding dengan agensi Coast Guard antarabangsa.

Beliau menambah, pencerobohan bot nelayan asing merupakan satu ancaman yang kritikal kepada industri perikanan negara dan bukan sahaja merompak hasil laut negara serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan tempatan, malah merosakkan ekosistem biodiversiti marin.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus