Rakyat wajar sokong pelancongan domestik

A
A
A

PADA tahun ini Malaysia sepatutnya mengadakan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) yang menyasarkan kedatangan 30 juta pelancong dan menjana pendapatan sebanyak RM100 juta.

Malangnya, impian itu tidak menjadi kenyataan apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu untuk membendung penularan pandemik koronavirus (Covid-19) sekali gus menjejaskan industri pelancongan negara.

Sejak itu, tiada pelancong luar yang datang kerana lapangan terbang ditutup. Hotel-hotel kerugian bahkan ada yang bankrap kerana tidak mampu bertahan dan ramai hilang pekerjaan.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, anggaran kerugian dialami sektor pelancongan bagi tempoh Januari hingga Jun mencecah RM45 bilion.Menurut Pelancongan Malaysia, industri itu menyumbang RM41.69 bilion atau tujuh peratus kepada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) Malaysia pada separuh pertama tahun lepas.

Oleh yang demikian, sektor pelancongan domestik perlu dirancakkan semula susulan kerajaan membenarkan rakyat melancong di dalam negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Rakyat boleh membawa keluarga melancong di dalam negara dengan mengamalkan kebiasaan baharu.

Ada pihak berpendapat sektor pelancongan mengambil tempoh sehingga 10 bulan untuk kembali ke tahap normal.

Oleh itu, banyak yang boleh dilakukan oleh kerajaan dan pengusaha untuk mempromosikan pelancongan keluarga dengan mengambil kira pakej serta kos yang menarik, di samping meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan.

Artikel Berkaitan:

Adalah diharapkan agar rakyat Malaysia dapat memanfaatkan cuti hujung minggu yang panjang bagi merancakkan kembali ekonomi pelancongan domestik di samping membantu perniagaan dalam sektor itu.

Jadi kebergantungan negara selepas ini bukan lagi kepada pelancong luar khususnya dari China, malah boleh mengharapkan rakyat sendiri untuk menyumbang kepada industri pelancongan domestik.