Penolong Pengarah Imigresen ditahan terlibat seludup migran

Ayon Khan mengadakan sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.
Ayon Khan mengadakan sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang Penolong Pengarah Imigresen ditahan kelmarin kerana disyaki bersekongkol dengan penyeludup migran.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek yang berusia 50 tahun itu ditahan di tempat kerjanya dan penangkapan itu merupakan jawatan paling tinggi setakat ini melibatkan pegawai penguat kuasa.

"Modus operandi yang digunakan sindiket ini ialah dengan menyediakan cap imigresen Malaysia yang dipercayai palsu bagi menguruskan penyeludupan warga Indonesia yang tamat tempoh pas lawatan sosial sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kegiatan ini dipercayai ada kaitan dengan pengisytiharan pihak imigresen sebelum ini yang memberi kelonggaran kepada warga Indonesia keluar (pulang ke negara asal), mereka (pihak bersekongokol) ambil kesempatan (dengan pengisytiharan itu)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Pada 4 Jun lalu polis menahan 40 suspek utama yang menjadi dalang penyeludupan migran di pantai timur Johor melibatkan ejen mengurus keluar masuk migran, menguruskan pengangkutan, tekong darat, tekong laut dan penjaga rumah penampungan.

Susulan itu seramai 23 pegawai dan anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua ditahan bermula 13 hingga 18 Jun, 23 dan 25 Jun.

ARTIKEL BERKAITAN - 51 Geng Otong seludup migran didakwa

Semalam 51 anggota Geng Otong dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang yang mendalangi sindiket penyeludupan migran antara 2015 hingga tahun ini.

Ayob Khan berkata, pecahan daripada 23 pegawai dan anggota polis itu terdiri daripada 14 anggota termasuk seorang berpangkat Asisten Superintenden; lima anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk dua pegawainya dan empat anggota imigresen.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, 19 daripada mereka akan dituduh pada minggu depan dan pihaknya menafikan dakwaan mengatakan polis menganiaya mereka dengan tangkapan itu yang kononnya sengaja dilakukan.

"Tidak timbul isu polis menganiaya. Kita menjalankan siasatan dan mereka ada hak untuk membela diri. Kita tidak ada tolak ansur, kalau ada yang terlibat daripada mana-mana agensi atau pangkat apa sekali pun akan ditangkap," katanya.

Tambahnya, mereka yang berpangkat besar tidak perlu beranggapan 'kebal' dengan undang-undang dan akan terlepas kerana mempunyai kedudukan sebaliknya tetap akan diberkas jika bersekongkol melakukan aktiviti itu.