Kejayaan Malaysia dicemburui

No Image Caption
A
A
A

SEJAK penularan pandemik Covid-19 berlaku di seluruh dunia, Malaysia memberi penekanan tentang keperluan mengambil tindakan segera dan agresif untuk memerangi virus berkenaan.

Pada bulan Mac lalu, Malaysia mencatatkan jumlah kes sehingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding semua negara lain di Asia Tenggara.

Memandang serius terhadap gejala virus Covid-19 ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac 2020, secara rasmi mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa pada 18 Mac.

Perkara itu merangkumi larangan himpunan awam termasuk acara agama, sukan, sosial dan kebudayaan kecuali untuk pasar basah, pasar raya, kedai runcit dan tempat lain yang menjual keperluan harian.

Pendek kata, 32 juta rakyat Malaysia perlu berkurung di rumah sendiri. Keputusan awal kerajaan mengisytihar PKP selama 14 hari dari 18 hingga 31 Mac merupakan langkah tepat dan bijak dalam mencegah penularan baharu wabak Covid-19 di Malaysia.

Menyentuh aspek kemudahan kesihatan pula, kita amat bersyukur kerana sejak selepas merdeka lagi, kerajaan telah memberi tumpuan kepada memperkukuh asas kesihatan awam.

Selain bertuah kerana memiliki kemudahan kesihatan antara yang terbaik di dunia, kita juga mempunyai doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang berkhidmat dengan penuh dedikasi.

Atas faktor tersebut, setakat ini kita menjadi antara negara yang paling berjaya mengawal penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu diakui dan diiktiraf oleh kebanyakan pakar kesihatan awam di seluruh dunia. Menurut Jean-Michel Piedagnel yang merupakan Pengarah Drugs for Neglected Diseases Initiative (DNDI) bagi Asia Tenggara, pragmatisme dan kepantasan dari segi mewujudkan tindak balas kesihatan asas adalah faktor utama kejayaan Malaysia dan ia patut dicontohi oleh negara lain.

Malaysia juga secara drastik meningkatkan fasiliti kesihatan dan kapasiti pengesanan (virus) pada Februari lalu, termasuk peningkatan 86 peratus dalam kapasiti makmal ujian, 89 peratus katil penjagaan kritikal dan 49 peratus ventilator.

Kejayaan itu bukan sahaja melegakan hati rakyat Malaysia, malah turut mendapat pujian pakar Sains Kajian Otak, Neurologi dan Psikologi di Washington University, Missouri, Dr Jason Hassenstab yang terperangkap di Malaysia ketika pelaksanaan PKP.

Dr Jason menegaskan kerajaan Malaysia cemerlang dalam memastikan rakyatnya mematuhi setiap arahan sepanjang perintah itu dilaksanakan.

Pantas

Hal ini kerana, berbanding negara barat, Malaysia mengambil tindakan pantas dengan memasukkan mereka yang disahkan positif Covid-19 ke hospital termasuk yang tidak bergejala, selain menjalankan ujian kepada kontak rapat pesakit yang positif dan yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara yang berisiko.

Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengasingkan individu yang bergejala dan positif Covid-19 merupakan salah satu faktor kejayaan Malaysia mengawal kadar jangkitan wabak berkenaan.

Tindakan itu berbeza dengan beberapa negara lain yang hanya merawat individu bergejala teruk di hospital tanpa melakukan pengasingan awal terhadap mereka yang menunjukkan gejala.

Selain itu, walaupun bukti mengenai rawatan masih belum jelas, doktor di Malaysia juga memberi keutamaan kepada pemantauan untuk melihat kesan sampingan negatif dan menyesuaikan penggunaan ubat.

Pengalaman Malaysia menghadapi Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) dan Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) termasuk pasukan pengesanan kontak yang berpengalaman juga antara kunci kepada maklum balas yang pantas.

Di sebalik itu semua, pujian patut diberikan kepada majoriti masyarakat Malaysia yang turut berperanan dengan terus memberi kerjasama kepada kerajaan bagi menamatkan penularan wabak berkenaan dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Malahan yang paling mengharukan adalah, masyarakat beragama Islam di negara ini sanggup berkorban dengan tidak pulang berhari raya di kampung.

Sekalung pujian harus diberikan kepada kerajaan yang prihatin menyediakan pelbagai bantuan serta inisiatif yang digariskan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi.

Semua langkah ini sangat penting dalam merangka exit plan bagi PKPP, yang juga kriteria terakhir mesti dipenuhi sebelum ia boleh ditamatkan sepenuhnya. Syabas Malaysia!

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia