Pemilik pangsapuri culas berdepan tindakan mahkamah

Mohd Zulkurnain (tengah) semasa tiba di pekarangan Mahkamah Municipal Subang Jaya di SS15 di sini hari ini.
Mohd Zulkurnain (tengah) semasa tiba di pekarangan Mahkamah Municipal Subang Jaya di SS15 di sini hari ini.
A
A
A

SUBANG JAYA - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini yang memfailkan saman ke atas pemilik pangsapuri yang gagal melunaskan bayaran penyelenggaraan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, tindakan pendakwaan di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 itu dilakukan Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB).

Menurutnya, saman-saman berkenaan difailkan oleh COB pada 3 Disember 2019 sekali gus menjadikan MPSJ sebagai PBT pertama di negara ini yang memfailkan saman di bawah kesalahan Akta 757.

"Pihak COB menerima maklumat daripada Unit Pendakwaan Auditan dan Penguatkuasaan Cawangan Pengurusan Strata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Putra Walk, Taman Pinggiran Putra, Seksyen 2, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor pada penghujung tahun 2018 mengenai pelanggaran kesalahan di bawah Seksyen 123 Akta 757.

"Pada 5 Mac lalu, Mahkamah Majistret Munisipal Subang Jaya telah mendengar sebutan kali kedua bagi saman-saman yang telah difailkan oleh MPSJ melalui COB di bawah Seksyen 123 Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Municipal Subang Jaya di SS15 di sini hari ini.

Mohd Zulkurnain berkata, tindakan diambil melibatkan pelanggaran kesalahan di bawah Seksyen 123 Akta 757 iaitu gagal mematuhi award yang dikeluarkan oleh Tribunal Pengurusan Strata yang mengarahkan pemilik- pemilik unit pangsapuri untuk menjelaskan caj penyelenggaraan tertunggak dalam tempoh 30 hari dari tarikh award dikeluarkan.

"Orang kena saman/ penentang telah mengaku salah terhadap pertuduhan dikenakan dan mahkamah telah mengenakan denda sebanyak RM3,500 atau penjara tiga hari sekiranya gagal membayar denda.

Artikel Berkaitan:

"Pada 20 Februari lalu dalam sebutan kedua bagi saman lain untuk kesalahan sama, orang kena saman/ penentang mengaku salah atas pertuduhan itu. Mahkamah mengenakan denda RM1,500 atau penjara lima hari sekiranya gagal membayar denda tersebut.

"Kes ini sekali gus menjadikan kes pertama di Malaysia yang telah direkodkan sebagai jatuh hukum di bawah kesalahan Akta 757," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun pihak pendakwaan telah memfailkan notis rayuan pada 24 Februari lalu kepada Mahkamah Tinggi untuk denda yang lebih berat dikenakan terhadap orang kena saman/penentang.

Katanya, kini pihak pendakwaan sedang menunggu tarikh pendengaran bagi notis rayuan tersebut.

"Bagi saman-saman selebihnya, mahkamah telah menetapkan tarikh sebutan seterusnya pada 2 Julai ini untuk penyerahan saman," katanya.

Katanya, tindakan undang-undang dikenakan ini diharap dapat memberi kesedaran kepada pembeli dan pemilik petak berstrata dalam kawasan MPSJ agar tidak memandang ringan terhadap 'award' yang dikeluarkan Tribunal Pengurusan Strata.

"Ia sekali gus sebagai peringatan kepada pembeli dan pemilik petak berstrata agar membayar caj penyelenggaraan setiap bulan kepada JMB atau perbadanan pengurusan bagi memastikan penyelenggaraan dan pengurusan bangunan berstrata dapat dijaga dengan baik," katanya.