PGA rampas daun ketum bernilai lebih setengah juta

Mohd Nasaruddin (dua dari kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas oleh Batalion 1 dalam Op Benteng Covid kawalan keselamatan sempadan, sepanjang Jun lalu.
Mohd Nasaruddin (dua dari kanan) menunjukkan daun ketum yang dirampas oleh Batalion 1 dalam Op Benteng Covid kawalan keselamatan sempadan, sepanjang Jun lalu.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 berjaya merampas barangan bernilai RM1.29 juta termasuk lebih 17 tan daun ketum bernilai RM550,100 di kawasan sempadan Malaysia-Thailand sepanjang Op Benteng Covid kawalan keselamatan sempadan, Jun lalu.

Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, jumlah rampasan berkenaan merangkumi 47 kes yang disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 membabitkan penahanan seramai empat suspek dengan dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamine.

Menurutnya, selain daun ketum, pihaknya turut merampas pelbagai jenis mata wang, telefon bimbit, lima buah kereta dan 12 motosikal yang jumlah keseluruhannya berjumlah RM736,627," katanya pada sidang akhbar di Martak Bukit Kayu Hitam, di sini smalam.

Menurutnya, dalang penyeludupan ketum ini masih menggunakan modus operandi yang sama iaitu mengumpulkan daun ketum di suatu lokasi tersembunyi seperti stor dan jalan ladang kelapa sawit bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

"Kemudiannya, apabila sudah cukup jumlah yang dikehendaki sama ada 10 guni atau 20 guni, daun berkenaan akan dipunggah sebelum dihantar ke lubang-lubang tikus atau lokasi tertentu," katanya.

Sementara itu, Mohd Nasaruddin berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Mac lalu, pihaknya turut mendapati terdapat cubaan membolos sempadan negara oleh pendatang asing tanpa izin (PATI).

Beliau berkata, seramai 15 PATI ditahan sejak 18 Mac hingga 30 Jun lalu sambil memberitahu penahanan itu tidak melibatkan etnik Rohingya.

"Jumlah ini tidak banyak dan kita akan cuba sedaya-upaya mempertahankan sempadan daripada dibolosi oleh kumpulan ini," katanya.

Artikel Berkaitan: