Tadika patuh SOP, ibu bapa lega

Tijah bersama Mohd Asri dan Fazila melakukan lawatan mengejut ke Tabika Kemas Kampung Gelong Air, dekat sini, hari ini.
Tijah bersama Mohd Asri dan Fazila melakukan lawatan mengejut ke Tabika Kemas Kampung Gelong Air, dekat sini, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Pembukaan semula taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) dan taman asuhan kanak-kanak bawah seliaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) memberi kelegaan kepada ibu bapa apabila mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ibu bapa berpuas hati dengan kaedah yang digunakan dan yakin anak-anak mereka selamat di Tadika dan Taska.

Bapa, Mohd Hafizlah Zainul Abidin, 38, mengakui tenang menghantar anaknya, Muhammad Danish Hazim, 6, belajar di Tabika.

Menurutnya, Pengurusan Tabika Kemas melaksanakan pematuhan SOP yang baik dengan norma baharu ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

"Saya dapati tabika anak sememangnya mengambil beberapa langkah pencegahan seperti menyediakan sabun cuci, mengambil maklumat kedatangan dan memeriksa suhu badan.

"Jadi, saya rasa terjamin dan selamat untuk hantar anak ke tabika semula yang dibuka bermula hari ini," katanya kepada Sinar Harian ketika Lawatan Mengejut Pematuhan SOP Pembukaan Semula Tabika Kemas di Tabika Kemas Kampung Gelong Air, Padang Hang hari ini.

Turut hadir, Penolong Pengarah merangkap Pegawai Kemas Daerah Kota Setar, Mohd Asri Mohd Saad dan Pegawai Operasi Pendidikan Awal Kanak-kanak Kemas, Fazila Hashim.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Pendidikan Awal Kanak-kanak Kemas Kedah, Tijah Hasan berkata, sebanyak 506 daripada 832 tabika Kemas di negeri ini dibuka hari ini manakala selebihnya pada 15 Julai depan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tijah berkata, kesemua 52 taska di Kedah turut dibuka sepenuhnya hari ini dengan SOP ketat seperti kanak-kanak dan guru dikehendaki memakai topeng muka sepanjang masa ketika di premis itu.

Menurutnya, semua kakitangan Kemas bersedia menerima kehadiran murid dengan garis panduan ketat.

"Pegawai Kemas Daerah akan melakukan pemantauan mengejut di Tabika dan Taska Kemas di daerah masing-masing bagi memastikan SOP dipatuhi,"katanya.

Terdahulu, Sinar Harian turut mengikuti pihak Kemas Kedah melakukan lawatan mengejut ke Taska Kemas Bijak Parlimen Kuala Kedah.