Saingan Liga-M dijangka bersambung lebih awal

Reezal Merican
Reezal Merican
A
A
A

Saingan Liga Malaysia (Liga-M) dijangka bermula lebih awal daripada jangkaan masa ditetapkan apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal mengemukakan cadangan agar latihan penuh secara berkontak (contact training) dibenarkan bagi acara-acara sukan berpasukan seperti bola sepak.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican, cadangan yang akan dikemukakan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 9 Julai depan itu, akan memberikan harapan dan kemungkinan untuk saingan liga bola sepak utama negara itu kembali berlangsung dalam masa terdekat sejak ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun jelas Reezal Merican, cadangan berkenaan masih tertakluk kepada pandangan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta persetujuan ahli-ahli Mesyuarat Khas Menteri-Menteri.

"Kerajaan telah mengumumkan pembukaan sektor sukan dan rekreasi Fasa 2 bermula 15 Jun 2020 lalu dengan memberikan kebenaran kepada orang awam untuk melakukan aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak ada sentuhan badan (non-contact), di fasiliti tertutup dan terbuka (indoor and outdoor facilities) serta pembukaan semula gimnasium, dewan tertutup (indoor venue seperti dewan badminton, kompleks sukan pelbagai, pusat snuker, dan pusat-pusat sukan yang lain.

"Kebenaran berkenaan turut diberikan untuk sukan berpasukan seperti bola sepak, hoki dan sukan tempur seperti silat, taekwondo, dan sebagainya untuk memulakan program latihan tanpa sentuhan badan (non-contacttraining) dengan mematuhi jarakkan sosial sejauh hingga lima meter semasa latihan di adakan.

"Oleh itu, KBS akan mengemukakan cadangan agar kerajaan membenarkan latihan penuh secara berkontak (contact training) bagi acara-acara sukan berpasukan seperti bola sepak dan sukan tempur dan ia akan memperlihatkan juga harapan dan kemungkinan untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) dan kejohanan-kejohanan sukan yang lain dapat dimulakan dalam masa yang terdekat," katanya menerusi satu kenyataan media.

Tambah Reezal Merican, kebenaran berkenaan telah membolehkan skuad bola sepak kebangsaan selain pasukan negeri dan kelab-kelab di bawah MFL serta akademi-akademi yang berdaftar memulakan latihan bolasepak secara tiada sentuhan badan (non-contact training) mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan sejak 15 Jun 2020 lalu.

"Kita juga akan kemukakan cadangan agar penganjuran kejohanan sukan dan rekreasi secara seperti sukan individu, sukan permotoran, sukan riadah,sukan air dan sukan ekstrem yang tidak melibatkan sentuhan badan (non-contact) dapat dilaksanakan secara berperingkat.

Artikel Berkaitan:

"Aktiviti latihan renang (termasuk juga aktiviti latihan terjun dan latihan menyelam) juga telah dibenarkan di kolam renang mengikut sesi tertentu yang ditetapkan berdasarkan kapasiti kolam renang untuk atlet dan peserta bagi program-program latihan yang berstruktur serta terkawal yang dikendalikan di peringkat kebangsaan, negeri,kelab dan juga akademi swasta mulai 25 Jun lalu dengan pematuhan SOP daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Sementara itu, Reezal Merican berkata, KBS juga ada mengadakan sesi libat urus (engagement session) bersama penggiat industri sukan dari semasa ke semasa bagi berkongsi pandangan mengenai pembangunan sukan di Malaysia.

Katanya, sesi libat urus berkenaan juga adalah untuk membincangkan cadangan berhubung SOP yang bersesuaian ke arah pembukaan sektor sukan dan rekreasi secara berperingkat.

"KBS juga akan mengadakan satu sesi libat urus bersama pengusaha-pengusaha padang dan gelanggang komersil serta akademi untuk sukan bola sepak dan futsal dalam masa yang terdekat," katanya.