Pulau Pinang sedia beri kerjasama kepada SPRM

Kon Yeow menunjukkan surat daripada SPRM pada sidang media di Georgetown hari ini.
Kon Yeow menunjukkan surat daripada SPRM pada sidang media di Georgetown hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang sedia memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan terbaharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai berhubung kes projek terowong dasar laut di negeri itu.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya sudah menerima surat daripada SPRM bagi mengambil keterangan beberapa pemimpin termasuk bekas anggota Exco Kerajaan Negeri yang terlibat semasa proses tender projek berkenaan dijalankan sebelum ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri bagaimanapun tidak tahu-menahu mengenai butiran siasatan yang dilakukan, sebaliknya menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan tugas.

"Kita akan memberikan kerjasama sepenuhnya walaupun siasatan kes ini pernah dilakukan dan ditamatkan sebelum ini," katanya kepada pemberita hari ini ketika diminta mengulas mengenai penahanan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Jeffrey Chew Gim Eam pada petang semalam.

Difahamkan, bekas Timbalan Bendahari DAP Pulau Pinang itu ditahan kira-kira 2 petang kelmarin ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM negeri di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, pihaknya difahamkan bahawa Jeffrey Chew direman hanya untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Kon Yeow juga menjelaskan bahawa kerajaan negeri menerima dua surat daripada SPRM pada tahun 2018 yang membersihkan nama kontraktor projek berkenaan iaitu Consortium Zenith Construction Sdn Bhd dan Pengarah Eksekutif Kanannya, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli daripada sebarang salah laku.

Menurutnya, SPRM memaklumkan bahawa siasatan kes berkenaan telah selesai dilakukan dan tiada sebarang pendakwaan yang dilakukan dalam kes terbabit.

Artikel Berkaitan: