X

Kindly register in order to view this article
!

MBI tawar 240 jawatan Pembantu Awam

Rumaizi menyampaikan ucapan ketika Mesyuarat Penuh MBI di Dewan Mesyuarat MBI hari ini.
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menawarkan 240 jawatan Pembantu Awam kepada mereka yang hilang pekerjaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, tawaran jawatan kosong itu sebagai inisiatif membantu kerajaan mengurangkan kadar pengangguran yang berlaku kesan penularan koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, borang permohonan bagi jawatan kosong itu diedarkan kepada Ahli-ahli Majlis MBI untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan.

"Fenomena hilang pekerjaan berlaku di seluruh dunia akibat Covid-19. Ramai yang terkesan antaranya diberi separuh gaji, diberi cuti ataupun dibuang kerja. Akibatnya, mereka hilang punca pencarian atau meraih pendapatan yang jauh lebih rendah sehingga sukar untuk menampung keperluan hidup.

"Oleh itu, Majlis Bandaraya Ipoh telah mengambil inisiatif bagi membantu kerajaan mengurangkan kadar pengangguran dengan menawarkan 240 jawatan Pembantu Awam," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh MBI di Dewan Mesyuarat MBI di sini hari ini.

Menurutnya, selain borang boleh diperoleh daripada Ahli Majlis, orang ramai boleh mendapatkannya menerusi laman sesawang www.mbi.gov.my serta melihat syarat-syarat kelayakan.

Dalam perkembangan lain, Rumaizi berkata, pihaknya akan melaksanakan aktiviti pertanian berkonsepkan pertanian dalam bandar.

Katanya, MBI akan mengenal pasti tapak-tapak tanah rizab kerajaan untuk dijadikan tapak aktiviti pertanian dalam membantu ekonomi penduduk yang terkesan akibat Covid-19.

Jelasnya, lokasi yang dicadangkan adalah di kawasan kaki gunung yang berada di bawah pentadbiran MBI seperti Gunung Masoorat, Gunung Rapat, Gunung Tunggal, Gunung Lengkun, Gunung Panjang, Gunung Gunting dan Rotan Segar.

Beliau berkata, tapak cadangan tersebut akan dijadikan tanah rizab MBI dan seterusnya akan dipajak kepada MBI.

Bagi tujuan itu, MBI akan menyelaras aktiviti pertanian terbabit bersama agensi yang berkaitan yang mempunyai kepakaran dalam bidang pertanian seperti Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

"Untuk fasa pertama ini, MBI akan mengguna pakai tanah-tanah rizab kerajaan yang berpotensi untuk sumber makanan dalam mengurangkan pengimportan makanan. Anggaran keluasan kawasan cadangan adalah sebanyak 300 ekar (120 hektar).

"Sekiranya program ini dapat dilaksanakan mengikut kaedah ini, ia sekali gus membantu menyokong usaha kerajaan negeri dalam menjamin kualiti dan sekuriti makanan negara selain menjadikan Ipoh ke arah perancangan sebagai Hab Lembah Makanan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf