X

Kindly register in order to view this article
!

Tidak wajar ambil masa lama pastikan agensi guna bahasa kebangsaan

Mohd Azmi Abdul Hamid
A
A

SHAH ALAM – Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyifatkan adalah tidak wajar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil masa terlalu lama untuk semua agensi awam dan swasta di negara ini mematuhi penggunaan bahasa Kebangsaan.

Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, DBP hanya berfungsi sebagai penasihat dan pengesah bahasa kebangsaan kepada pelbagai sektor di negara ini, sedangkan penggunaan bahasa kebangsaan tetap tidak diberi perhatian serius oleh banyak pihak.

“Pihak Teras berpendirian tidak munasabah penggunaan bahasa kebangsaan masih terus di tahap rendah padahal negara telah melangkah ke tahap negara maju yang sepatutnya boleh membuktikan bahasa kebangsaan mampu menjadi bahasa yang progresif dan berdaya maju.

“Kami menegaskan tidak guna sebuah dasar yang tercatat dalam perlembagaan Persekutuan tidak dipatuhi dengan adanya sebuah akta, namun DBP tidak mempunyai mandat undang-undang untuk menguatkuasakannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, sangat aneh sebuah dasar dan akta diwujudkan, namun tidak dihormati oleh agensi awam sendiri malah tidak memiliki kuasa undang-undang yang diperlukan untuk penguatkuasaannya.

ARTIKEL BERKAITAN: https://www.sinarharian.com.my/article/89603/BERITA/Nasional/Beri-DBP-kuasa-bertindak

Semalam, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan berkata, hampir kesemua daripada 150 PBT di seluruh negara dilihat tidak benar-benar mengutamakan bahasa Melayu malah ada yang gagal menjalankan penguatkuasaan mengikut peruntukan di bawah undang-undang kecil ditetapkan.

Menurutnya, lebih malang DBP dipersalahkan apabila papan iklan, nama bangunan, kawasan perumahan dan bandar lebih mengutamakan nama asing berbanding bahasa Melayu.

Jelasnya, DBP menyarankan kerajaan meminda Akta DBP bagi membolehkan badan berkanun itu mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk ke atas pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak menghormati penggunaan bahasa kebangsaan.

Sementara itu, Mohd Azmi berkata, DBP yang berusia 64 tahun itu tidak boleh hanya berdiri megah dengan gedung besar, tetapi tidak berdaya menghalang pihak yang melanggar malah menghina bahasa kebangsaan yang sepatutnya dipertahan dan dilindungi.

“Jenayah bahasa tidak boleh diremehkan kerana ia akan menjadi jenayah budaya yang bakal merosakkan seluruh makna jati diri sebuah negara yang merdeka,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, Teras menyokong cadangan Awang supaya Akta DBP 1959 dipinda dan memperkasa DBP sebagai badan penguatkuasa.

Katanya, pendekatan yang tegas terhadap mereka yang cuai dan tidak mematuhi pemakaian bahasa kebangsaan perlu dikuatkuasakan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!