Gagal kemuka laporan kemalangan pekerja

Redzuan dan Mazlan (baju hitam) keluar dari kamar perbicaraan.
Redzuan dan Mazlan (baju hitam) keluar dari kamar perbicaraan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah Majistret, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM2,500 ke atas dua majikan dari syarikat yang berbeza kerana gagal mengemukakan laporan kemalangan membabitkan pekerja mereka.

Kedua-dua individu itu didakwa telah gagal mengemukakan laporan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) dalam tempoh 48 jam seperti ditetapkan.

Tertuduh yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu turut diarahkan Majistret, Rashidah Baharom untuk menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Bagi kes yang pertama, tertuduh, Redzuan Othman, 36, sebagai majikan utama kepada Mohammad Nashnawi Maula, 27, telah didapati gagal menghantar laporan kemalangan dalam masa 48 jam selepas diterima pemberitahuan mengenai kemalangan melibatkan pekerjanya itu.

Mengikut fakta kes, Mohammad Nashnawi dilaporkan telah terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawanya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di Pasir Gudang pada 26 Februari 2010.

Kesalahan itu dikenal pasti apabila Redzuan melaporkan kes tersebut pada 4 Oktober tahun lalu selain turut menerima aduan daripada waris pekerjanya.

Manakala bagi kes kedua, tertuduh, Mazlan Abu Samah, 45, sebagai majikan utama kepada Ahmad Mohtaram Sadiran, 56, didakwa atas kesalahan yang sama yang mana pekerjanya telah terlibat dalam satu kemalangan maut pada 11 November 2017.

Namun mengikut fakta kes itu, Mazlan hanya melaporkan kejadian tersebut kepada Perkeso pada 2 Oktober 2018.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 94(e) Akta Keselamatan Pekerja 1969 (Akta 4) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 94 akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000, penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Perkeso Negeri Johor, Rahim Hashim.

Terdahulu, ketika menjatuhkan hukuman, Rashidah turut menegur tindakan tindakan kedua-dua majikan itu selain melihat tindakan yang dilakukan itu sebagai satu kesalahan berat kerana tidak menghiraukan perasaan keluarga waris.

“Sebagai majikan kamu kena tahu (prosedur laporan kemalangan), kesian kepada keluarga waris,” katanya.