Jurulatih taekwondo rugi RM7,630 ditipu pinjaman tak wujud

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang jurulatih taekwondo berputih mata selepas kerugian berjumlah RM7,630 apabila menjadi mangsa sindiket penipuan pinjaman tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M.Zambri Mahmud berkata, mangsa lelaki berusia 35 tahun melayari laman sosial Facebook dan tertarik dengan iklan pinjaman peribadi sebelum mengisi segala butiran diminta pada 2 Jun lalu.

Menurutnya, pada hari sama sejurus selesai mengisi borang disertakan, mangsa ada menerima satu mesej yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp dari nombor tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai wakil daripada agensi berkenaan.

"Kemudian, pada 4 Jun, mangsa menerima satu lagi mesej melalui WhatsApp meminta agar beliau menghantar dokumen penting termasuk kad pengenalan dan sijil pendaftaran syarikat (jika ada), selain mengarahkan agar memasukkan wang berjumlah RM450 untuk kos bayaran urusan peguam.

"Tanpa berlengah pada hari sama, mangsa terus melakukan apa yang diarahkan termasuk memindahkan wang ke dalam akaun bank diberi dan seminggu kemudian, mangsa dihubungi oleh wakil agensi memaklumkan permohonan pinjaman sudah diluluskan.

"Beberapa hari kemudian iaitu pada 9 Jun, mangsa membuat dua transaksi masing-masing berjumlah RM700 dan RM800 sebelum suspek memaklumkan pinjaman mangsa terpaksa ditangguhkan atas alasan kononnya lelaki terbabit mengambil masa yang sangat lama.

"Suspek menjelaskan pinjaman boleh diteruskan dengan syarat mangsa perlu membayar 21 peratus daripada jumlah pinjaman yang ingin dibuat iaitu RM10,000 menyebabkan mangsa membatalkan hajatnya itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

M Zambri berkata, mangsa sekali lagi menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada suspek pada 18 Jun lalu yang memintanya membuat pembayaran dan mengugut akan pergi ke rumah mangsa sekiranya dia enggan menuruti arahan diberikan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mangsa akur dengan arahan diberikan dengan membuat dua transaksi, namun suspek sekali lagi meminta mangsa memasukkan sejumlah wang dengan alasan terdapat masalah pada permohonan yang dibuat.

"Mangsa yang yakin dirinya menjadi mangsa penipuan dengan kerugian keseluruhan bernilai RM7,630 mengambil keputusan membuat laporan polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.