12 ditahan, sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto tumpas

Polis Melaka menumpaskan sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto tidak wujud selepas berjaya menahan 12 individu termasuk dua wanita dalam dua serbuan berasingan, di sini pada Jumaat. - Gambar hiasan
Polis Melaka menumpaskan sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto tidak wujud selepas berjaya menahan 12 individu termasuk dua wanita dalam dua serbuan berasingan, di sini pada Jumaat. - Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - [DIKEMASKINI] Polis Melaka menumpaskan sindiket penipuan pelaburan mata wang kripto tidak wujud selepas berjaya menahan 12 individu termasuk dua wanita dalam dua serbuan berasingan, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, 11 yang ditahan terdiri daripada warga China termasuk dua wanita, manakala seorang lagi adalah lelaki warga tempatan.

"Bertindak atas maklumat sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah menyerbu dua bilik di sebuah hotel sekitar Bandar Melaka yang dipercayai dijadikan tempat operasi kegiatan sindiket dan disewa mereka sejak November tahun lepas.

"Hasil semakan awal, pakar media sosial telah mengenal pasti sindiket ini menjalankan penipuan pelaburan mata wang kripto tidak wujud yang ditawarkan oleh syarikat 'Pacific Exchange'," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Zainol berkata, siasatan lanjut juga mendapati suspek menyasarkan mangsa seluruh dunia (kecuali Malaysia) melalui pautan yang diiklankan menerusi laman sesawang YouTube bagi mempromosikan platform 'Pacific Exchange'.

Katanya, suspek akan menyakinkan mangsa bahawa keuntungan akan diperolehi dalam tempoh satu hingga 200 hari berdasarkan pakej serendah dari ASD10 hingga ASD3,000.

"Bagaimanapun akaun pelaburan mangsa akan ditutup serta merta dan mangsa tidak akan memperoleh keuntungan seperti mana yang dijanjikan setelah pihak sindiket mendapat keuntungan hasil pelaburan yang dibuat oleh mangsa," katanya.

Zainol berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas sembilan set komputer, 30 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua wireless router, dan tiga simkad prabayar.

Katanya, kesemua mereka direman empat hari bermula Sabtu hingga 23 Mei dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Bernama