Tiada penangguhan, sesi prasekolah tetap diteruskan 1 Julai

A
A
A

IPOH - Kementerian Pendidikan tidak berhasrat menangguhkan sesi prasekolah yang akan bermula pada 1 Julai ini.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, perkara tersebut telahpun dipersetujui sebelum ini dan perlu diteruskan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, keputusan membenarkan prasekolah dibuka itu dibuat atas permintaan ibu bapa yang bekerja.

"Kita kena tahu bahawa ibu bapa yang bekerja memang memerlukan anaknya dihantar ke prasekolah. Kita perlu diteruskan (sesi persekolahan prasekolah), kalau prasekolah ada masalah kita cuba selesaikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Prasekolah, tabika dibuka bermula 1 Julai

"Persiapan telah dibuat, jadi kita kena ambil maklum bahawa apabila ada keperluan dan telah dibuat keputusan jadi kita teruskan," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan sebelum pembukaan sesi persekolahan bagi Tingkatan 5 dan 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent di sini hari ini.

Hadir sama dalam lawatan tersebut, Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) agar Kementerian Pendidikan menangguhkan sesi prasekolah kerana bimbang pelbagai masalah akan timbul membabitkan pengurusan dan infrastruktur di sekolah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan sebelum ini membenarkan prasekolah dan tadika beroperasi semula sepenuhnya bermula 1 Julai ini mengikut SOP ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, Hang Soon berkata, Kementerian Pendidikan berpuas hati dengan persiapan dilakukan oleh sekolah-sekolah di seluruh negara sebelum sesi persekolahan bagi Tingkatan 5 dan 6 yang akan bermula esok.

Katanya, selepas Tingkatan 5 dan 6, pembukaan sesi persekolahan bagi Tahun 5 dan 6 akan dilaksanakan secara berperingkat.