Kerajaan tegas menentang amalan rasuah, penyeludupan dadah di negara ini - Anwar

PUTRAJAYA - Kerajaan MADANI kekal tegas menentang amalan rasuah dan penyeludupan dadah dengan tindakan keras akan dikenakan terhadap individu yang terlibat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengakui kedudukannya sebagai Perdana Menteri akan sukar susulan ketegasan itu, Anwar berkata, beliau tidak sesekali gentar kerana aspek integriti melibatkan pasukan keselamatan serta pertahanan negara tidak boleh dikompromi.
"Jadi kita tentu ambil tindakan yang keras. Bila kita ambil tindakan keras menentang rasuah, jangan anggap ini mudah.
"Kedudukan kerajaan, apa lagi Perdana Menteri akan lebih sukar bila keras menentang rasuah daripada 1MDB (1Malaysia Development Berhad) kepada FELDA (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan), Tabung Haji dan penyeludupan dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI yang menampilkan Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia Sheikh Prof Dr Ali Muhyiddin Al-Qarahdaghi sebagai tetamu di Kompleks Seri Perdana di sini malam ini.
Anwar berkata, pasukan pertahanan negara perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang ancaman dan mengekalkan integriti untuk menjaga kedaulatan Malaysia.
"Bahagian ketenteraan kita itu, pertahanan mesti kental, integriti harus ada.
"Tak sekonyong-konyong timbul segala soal rasuah, penyeludupan dadah, penggunaan jet dan pesawat tentera untuk menyeludup dadah," katanya.
Pada 17 November lepas, 11 individu terdiri daripada lima pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta enam orang awam ditahan dalam operasi di Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah menggunakan aset TUDM.
Polis turut merampas 96.64 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kg bahan kimia dalam operasi berkenaan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan rakyat agar tidak terlalu leka dengan keamanan yang dikecapi negara serta sentiasa mengambil tahu mengenai isu geopolitik yang berlaku di dunia.
Beliau berkata, masyarakat masih pada ambang selesa serta menganggap tidak ada masalah dan ancaman dari luar.
"Tentunya mengundang masalah apabila orang tidak langsung ada kefahaman tentang geopolitik, tentang ketegangan dua kuasa besar yang mahu menjadikan rantau ini dan Malaysia sebagai pangkalan mereka.
"Kita belajar daripada pengalaman negara Teluk. Tidak siapa jangka dua tahun lalu bahawa negara Teluk akan menjadi tempat pertarungan hebat. Jadi ana (saya) bukanlah mengatakan untuk menakutkan rakyat tetapi kita ini mesti siap siaga," katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
