MATEC 2026 pamer lebih 12 teknologi automotif, buka peluang kerjaya

KUALA LUMPUR - Lebih 12 teknologi automotif termasuk kenderaan autonomi, kenderaan elektrik (EV) dan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) dipamerkan menerusi MARA Automotive Ecosystem (MATEC) 2026.
Pameran itu turut menumpukan kepada teknologi diagnostik berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan membuka ruang kepada pengusaha bengkel serta juruteknik mendapatkan pendedahan mengenai perkembangan teknologi semasa.
Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Dr Azmi Amat Murjan berkata, teknologi yang ditampilkan merangkumi teknologi bateri EV, sistem pengecasan pintar EV, teknologi Formula 1 dan pelincir termaju.
“Turut diketengahkan ialah ujian prestasi menggunakan dinamometer (dyno), sistem suspensi pintar, pengimbas diagnostik automotif termaju dan elektronik kenderaan pintar.
“Kita perlu beralih kepada teknologi tinggi. Contohnya, kita sebut sekarang sebagai High Growth, High Value (HGHV), sebab daripada nilai-nilai sebegini ia akan membuka peluang pekerjaan dengan pendapatan yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, perubahan teknologi kenderaan turut mengubah kemahiran yang diperlukan oleh pengusaha bengkel dan juruteknik.
Ujarnya, MATEC 2026 memberi ruang kepada pengusaha untuk bertemu pembekal dan institusi latihan, selain mengenal pasti latihan serta kerjasama yang sesuai dengan keperluan bengkel masing-masing.
“Pameran berkenaan turut menghubungkan pelatih dan graduan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA termasuk GiatMara dengan syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan menerusi sesi temu duga terbuka.
“Pengunjung juga boleh mendapatkan maklumat daripada institusi pendidikan MARA mengenai laluan pendidikan dan kemahiran serta penerapannya dalam sektor pekerjaan automotif,” katanya.
MATEC 2026 berlangsung dari 27 hingga 29 November di Parkir A dan B, Stadium Nasional Bukit Jalil bermula jam 10 pagi hingga 10 malam dengan kemasukan percuma.
Selain pameran teknologi, pelbagai aktiviti disediakan termasuk drift kereta kawalan jauh (RC), perlumbaan Hot Wheels, pertandingan e-sukan, aksi drift, pameran kereta ubah suai dan simulator perlumbaan.
Pameran itu turut dimeriahkan dengan persembahan muzik secara langsung pada sebelah malam yang menampilkan artis, kumpulan tempatan termasuk penyanyi dan pelakon terkenal, Datuk Awie.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
