Project Earth perkukuh kemampanan simpanan anggota ATM

 Barjoyai
Barjoyai
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelaksanaan Project Earth oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh kemampanan simpanan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi portfolio pelaburan lebih pelbagai, berdaya tahan dan mampu menjana pulangan konsisten dalam jangka panjang.

Penganalisis ekonomi, Profesor Datuk Dr Barjoyai Bardai berkata, penstrukturan portfolio itu penting bagi memastikan setiap ringgit aset yang diuruskan LTAT memberikan pulangan munasabah, sepadan dengan risiko dan keperluan pembayaran kepada pencarum.

Menurutnya, kejayaan transformasi berkenaan bukan sekadar bergantung kepada pengurangan pegangan aset strategik, sebaliknya kemampuan LTAT membina struktur pelaburan yang lebih seimbang serta menjana pendapatan secara berterusan.

“Project Earth sebagai satu langkah penstrukturan portfolio yang penting. Isu utama LTAT bukanlah semata-mata sama ada aset strategik yang dimilikinya mempunyai nilai atau tidak, tetapi sejauh mana aset tersebut mampu menghasilkan pulangan yang kompetitif berbanding modal dan risiko yang ditanggung,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, kepelbagaian portfolio dapat membantu mengurangkan risiko penumpuan pelaburan kepada beberapa syarikat atau kumpulan perniagaan yang boleh memberi kesan kepada keseluruhan dana sekiranya berlaku kemerosotan prestasi.

Justeru katanya, usaha meningkatkan pelaburan dalam ekuiti tersenarai, pendapatan tetap dan instrumen pasaran kewangan merupakan langkah wajar bagi membina portfolio lebih seimbang.

“Namun, saya ingin tegaskan bahawa mempelbagaikan portfolio tidak bermaksud LTAT perlu meninggalkan semua aset strategik. Aset strategik masih boleh dikekalkan sekiranya ia memberikan pulangan yang munasabah, mempunyai prospek pertumbuhan dan memenuhi kepentingan jangka panjang dana.

"Pengurusan dana persaraan perlu memberi perhatian kepada tiga perkara utama iaitu pulangan pelaburan mencukupi, kecairan bagi memenuhi komitmen kewangan dan pengurusan risiko supaya kemerosotan prestasi sesuatu syarikat tidak menjejaskan keseluruhan dana,” jelas beliau.

Menurutnya, gabungan aset pendapatan tetap yang menawarkan aliran pendapatan lebih terancang dengan ekuiti tersenarai yang berpotensi memberikan pertumbuhan modal dan dividen dapat membantu LTAT mencapai keseimbangan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sasaran LTAT mengurangkan bahagian aset strategik kepada kira- kira 35 peratus menjelang 2030 daripada 57.8 peratus sebelum ini boleh dicapai sekiranya dilaksanakan secara berperingkat dan berdisiplin.

Bagaimanapun, katanya, kejayaan sasaran itu tidak seharusnya diukur berdasarkan kelajuan LTAT menjual aset, sebaliknya nilai yang diterima daripada transaksi dan keberkesanan pelaburan semula hasil berkenaan.

“Jika aset dijual terlalu cepat atau di bawah nilai intrinsiknya, LTAT mungkin mengalami kerugian nilai. Sebaliknya, jika proses dibuat secara terancang, dengan penilaian bebas dan persaingan pembida yang telus, LTAT berpeluang mendapatkan semula modal dan menggunakannya untuk pelaburan yang lebih produktif,” katanya.

Barjoyai berkata, hasil pelupusan aset yang dilaksanakan secara terancang boleh digunakan untuk mengurangkan hutang, memperkukuh rizab dan meningkatkan pegangan dalam aset yang mempunyai aliran pendapatan berulang.

Menurutnya, langkah itu juga dapat membantu LTAT mengukuhkan kedudukan kewangan serta menyediakan ruang untuk mengembangkan pelaburan yang berpotensi memberikan pulangan lebih baik kepada pencarum.

Penglibatan rakan strategik

Mengulas mengenai cadangan pengurangan pegangan LTAT dalam Boustead Plantations Berhad (BPlant), beliau berkata, penglibatan rakan strategik berpotensi membantu mengurangkan beban pembiayaan dan memperkukuh aliran tunai dana.

“Sekiranya transaksi itu berjaya menyelesaikan pinjaman yang menelan kos faedah sehingga RM80 juta setahun, LTAT berpotensi mengurangkan beban pembiayaan dengan ketara. Penjimatan kos faedah itu boleh meningkatkan pulangan bersih dan memberi ruang kepada LTAT untuk mengembangkan pelaburan lain,” katanya.

Tambah beliau, manfaat penstrukturan berkenaan bergantung kepada struktur transaksi dan syarat perjanjian, termasuk harga jualan yang munasabah, kemampuan kewangan rakan strategik serta perlindungan kepentingan LTAT dan pencarum.

Barjoyai berkata, LTAT juga tidak semestinya perlu melepaskan keseluruhan kepentingannya dalam BPlant sekiranya pegangan minoriti yang dikekalkan masih membolehkan dana menikmati dividen, mengambil bahagian dalam pertumbuhan syarikat dan melindungi kepentingan strategiknya.

Pencapaian positif

Dalam pada itu, beliau menyifatkan pembayaran dividen LTAT sebanyak 5.35 peratus bagi tahun kewangan 2025 sebagai pencapaian positif yang menunjukkan prestasi kewangan dana berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, kemampanan kadar dividen itu perlu terus disokong oleh pendapatan pelaburan berulang dan pertumbuhan keuntungan, bukannya bergantung kepada keuntungan luar biasa daripada penjualan aset.

Beliau berkata, kejayaan sebenar Project Earth perlu dinilai berdasarkan peningkatan pulangan bersih yang mampan kepada pencarum selepas mengambil kira kos pembiayaan, kos operasi dan risiko pelaburan.

“Pada akhirnya, saya melihat Project Earth sebagai satu usaha mengubah pendekatan LTAT daripada model pemilikan aset strategik yang agak tertumpu kepada model pengurusan portfolio pelaburan yang lebih profesional, pelbagai dan berorientasikan pulangan bersih,” katanya.

LTAT menerusi Project Earth memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kebergantungan kepada aset strategik serta meningkatkan sumbangan aset berkenaan kepada pendapatan dana.

Usaha itu diteruskan menerusi GEMPUR30, pelan strategik bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menetapkan hala tuju ke arah portfolio lebih seimbang dan berdaya tahan.

LTAT menyasarkan pengurangan bahagian aset strategik kepada kira-kira 35 peratus menjelang 2030, selain meningkatkan pegangan dalam ekuiti tersenarai dan pendapatan tetap kepada sekurang-kurangnya 20 peratus bagi setiap kelas aset dalam tempoh berkenaan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!