Kolaborasi Jualan Agro MADANI, Jualan RAHMAH MADANI ringankan beban rakyat

Para pengunjung sedang beratur bagi mendapatkan bekalan ayam segar yang ditawarkan pada harga berpatutan di Jualan Agro Madani X Rahmah MADANI.
Para pengunjung sedang beratur bagi mendapatkan bekalan ayam segar yang ditawarkan pada harga berpatutan di Jualan Agro Madani X Rahmah MADANI.
A
A
A

SELAYANG - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menganjurkan Program Jualan Agro MADANI x Jualan RAHMAH MADANI bagi memperluaskan akses rakyat kepada produk agromakanan dan barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan.

Program yang berlangsung di pekarangan Ibu Pejabat FAMA, di sini pada Jumaat menghimpunkan dua inisiatif kerajaan di bawah kementerian berbeza menerusi pendekatan bersepadu untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat, di samping memperkukuh kerjasama dalam aspek pembekalan, logistik dan pemasaran.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin.

Turut hadir Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Anfaal Saari; Pengerusi FAMA, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus; Ketua Pengarah FAMA, Faisal Iswardi Ismail serta wakil pengurusan tertinggi FAMA dan KPDN.

FAMA dalam satu kenyataan memaklumkan, menerusi Jualan Agro MADANI, pengunjung menikmati pelbagai tawaran istimewa termasuk Kombo Madani Agromas, ayam segar, daging tempatan, telur ayam gred B serta sayur-sayuran pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

“Longan Kristal Sarawak, pomelo, ubi kayu dan jagung turut dijual pada harga berpatutan,” katanya.

Program Jualan Agro MADANI x Jualan RAHMAH MADANI menawarkan pelbagai barangan keperluan harian dan hasil pertanian pada harga berpatutan.
Program Jualan Agro MADANI x Jualan RAHMAH MADANI menawarkan pelbagai barangan keperluan harian dan hasil pertanian pada harga berpatutan.

Sementara itu, Jualan RAHMAH MADANI yang disertai 99 Speedmart menawarkan lebih 60 unit simpanan stok (SKU) barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, tepung gandum, produk penjagaan diri dan barangan runcit.

Artikel Berkaitan:

“Gabungan kedua-dua program berkenaan membolehkan pengguna mendapatkan keperluan dapur dan isi rumah di satu lokasi.

“Program ini menghimpunkan 31 usahawan dengan 52 lot jualan dan menyasarkan nilai jualan RM100,000, penjimatan pengguna sebanyak RM30,000. Kehadiran 2,000 pengunjung dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 8,000 isi rumah,” katanya.

Di peringkat nasional, sebanyak 3,456 Program Jualan Agro MADANI telah dilaksanakan dari 1 Januari hingga 15 November lalu dengan nilai jualan RM80.76 juta, melibatkan 55,223 usahawan dan lebih 4.7 juta pengunjung.

Program itu turut mencatat manfaat kepada isi rumah berjumlah RM18.92 juta serta penjimatan pengguna sebanyak RM25.66 juta.

FAMA memaklumkan akan terus memperkukuh jaringan pemasaran dan memperluas penyertaan usahawan menerusi kerjasama rentas kementerian bagi memastikan lebih ramai rakyat menikmati bekalan agromakanan berkualiti pada harga berpatutan, sekali gus memperkukuh ekosistem pemasaran agromakanan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!