'Ada peruntukan atau tidak, khidmat tetap diteruskan' - Rosli

Rosli
Rosli
A
A
A

KUANTAN - Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pembangkang di Pahang akan tetap menabur bakti kepada rakyat sama ada peruntukkan disalurkan oleh kerajaan negeri atau sebaliknya.

Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Abdul Jabar bagaimanapun menggambarkan bahawa kerajaan Pahang tidak akan memberikan peruntukan kepada ADUN pembangkang berdasarkan beberapa hujahnya pada sesi pergulungan pada Jumaat lalu.

Menurutnya, berdasarkan titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta supaya memberikan peruntukan yang adil kepada semua pembangkang dan kerajaan perlu raikan pembangkang kerana mereka dipilih oleh rakyat.

"Apa yang kami faham daripada titah ucapan tersebut ialah peruntukan tetap yang telah diberikan kepada ADUN kerajaan turut diberikan kepada ADUN pembangkang.

"Tafsiran kami dan tafsiran DS (Datuk Seri) Menteri Besar Pahang (Wan Rosdy Wan Ismail) tidak sama, maka terpulang kepada DS Menteri Besar untuk mentafsirkan titah ucapan tersebut mengikut apa yang beliau fahami.

"Bagi kami ada ataupun tiada, kami tetap akan menaburkan khidmat bakti dengan sebaik mungkin meskipun dalam apa jua keadaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Jumaat lalu, Wan Rosdy berkata, kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi peruntukan kepada ADUN pembangkang sebagaimana titah Tengku Hassanal.

Beliau memaklumkan peruntukan itu dicadangkan akan diberikan secara berkala dan jumlahnya tidak akan sama dengan peruntukan yang diterima wakil rakyat daripada kerajaan.

Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang juga sudah menyampaikan sumbangan ke kawasan seluruh negeri, termasuk dalam kawasan DUN pembangkang.

Antara bantuan itu, katanya lagi, adalah bantuan awal persekolahan dan lain-lain bantuan melalui inisiatif bantuan prihatin Pahang yang diperkenalkan sejak beliau dilantik sebagai menteri besar.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu.

" Insya-ALLAH kami akan bekerja lebih kuat, membina kekuatan, menyusun strategi, merempuh segala halangan sehingga kami menang untuk membentuk kerajaan baru Negeri Pahang PRU 16 (Pilihan Raya Umum ke-16) akan datang," katanya.

Pada 8 Mei lalu, Tengku Hassanal ketika merasmikan istiadat pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri Pahang bertitah, selepas hampir 66 tahun merdeka landskap politik perlu berubah.

"(Tempoh) 66 tahun ini sepatutnya telah matang dan yang menjadi kerajaan raikan pembangkang kerana mereka juga telah dipilih oleh rakyat.

"Peruntukan yang adil perlu diberikan kepada mereka (pembangkang) juga," titah baginda.

Susulan titah baginda itu menyaksikan hari kedua sidang DUN Pahang sedikit 'panas' apabila wakil kerajaan dan pembangkang membahaskan titah berkenaan.